TERAWIH: WAJARKAH WANITA HADIR?

Sis Lin
0
Assalamualaikum wbt..


Sering kali Lin di ajukan soalan "Tak gi Terwih ke? Tak nampak pun kat Mesjid?"..
Kadang2 ada perasaan malu bila dengar soalan tu, kadang2 rasa kecik hati seolah2 kita ni tak berterawih, kadang2 Lin diam je tak jawab, senyum dan bukak cite lain, susah nak terangkan tapi hanya Allah yang maha mengetahui. Bukan apa kita takut nak terangkan nanti orang kata penerangan kita satu alasan, tapi nawaitu kita hanya Allah yang tahu..
Kat sini Lin terbaca satu artikel dari Sinar Harian tentang wajarkah wanita hadir solat terawih, agak menarik dan ada berkaitan yang di katakan 'alasan' Lin tak ke mesjid..so Lin kongsikan di sini sekadar hanya #SelfNote ..





Tarawih: Wajarkah wanita hadir?

RAMADAN adalah bulan ibadah untuk semua termasuk buat kaum Hawa. Mereka juga tidak ketinggalan bersama dengan suami dan ahli keluarga yang lain menghidupkan malam sepanjang Ramadan.
Kita boleh lihat rata-rata  masjid seluruh negara dipenuhi hampir sebahagian golongan wanita sepanjang bulan yang diberkati ini. Namun, wanita perlu tahu apakah yang wajar mereka pelihara dalam keghairahan menghidupkan malam Ramadan terutama solat Tarawih secara berjemaah di masjid atau surau, agar usaha mereka melipatgandakan ibadah tidaklah bertukar atau bercampur-baur dengan hal yang ditegah agama

Suatu ketika, seorang sahabat bernama Ummu Humaid  RA ingin mengikuti solat bersama Nabi Muhammad SAW di Masjid Nabawi. Maka Baginda SAW memberikan satu jawapan yang cukup indah dan berkesan kepada beliau: “Sungguh aku tahu bahawa engkau gemar solat bersamaku, sedangkan solatmu di dalam bilikmu lebih baik daripada solatmu di rumah, dan solatmu di rumah lebih baik daripada solatmu di masjid kampungmu, dan solatmu di masjid kampungmu lebih baik daripada solatmu di masjidku ini.” (Riwayat Ibnu Khuzaimah).

Hadis ini seakan memiliki kaitan erat dengan hadis daripada Ibnu Mas’ud RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya wanita itu adalah aurat, apabila dia keluar syaitan akan menghiasinya. Dan sedekat-dekat seseorang wanita itu kepada Tuhannya adalah di saat dia berada di bahagian yang paling tersembunyi di dalam rumahnya.” (Riwayat Al-Tirmdzi & Ibn Khuzaimah)

Berdasarkan dua hadis tersebut jelaslah keadaan yang paling selamat yang Islam anjurkan untuk golongan wanita ialah untuk sentiasa berada pada keadaan yang tersembunyi, termasuk ketika waktu solat.

Jika wanita menghadiri solat berjemaah di masjid, maka tempat terbaik bagi mereka sudah tentulah di kawasan yang dikhaskan untuk wanita. Antara adab lain yang wajar dipraktikkan wanita yang berkeinginan untuk hadir ke masjid terutama di bulan Ramadan bagi mendirikan solat tarawih ialah seperti berikut:


Niat Ikhlas

Sewajarnya bagi setiap wanita yang berhajat untuk mendirikan solat Tarawih di masjid memastikan agar niatnya adalah ikhlas kerana ALLAH SWT. Tidak sepatutnya keinginannya untuk ke  masjid didasarkan atas urusan lain seperti ingin bertemu dengan rakan, jiran, atau sekadar mengikut orang lain  yang berpusu-pusu ke masjid.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang datang ke masjid untuk tujuan tertentu, maka itulah yang menjadi bahagiannya.” (Riwayat Abu Daud)


Meminta izin

Sebelum pergi ke masjid, wajib bagi seseorang wanita itu memohon izin daripada ayah (bagi yang masih belum berkahwin) atau suaminya.

Daripada Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW berkata: “Janganlah kalian melarang wanita daripada menghadiri masjid setelah mereka meminta izin daripada kalian.” (Riwayat Muslim)

Begitu juga di dalam riwayat Muslim yang lain dinyatakan: “Apabila isteri kalian meminta izin untuk ke masjid, maka berilah mereka izin.”

Setelah mendapat keizinan maka bolehlah seseorang wanita itu ke masjid.Tetapi jika tidak diizinkan maka wajiblah dia kekal untuk solat di rumah.
Ini kerana mentaati suami dan juga bapa itu hukumnya adalah wajib dan ia wajib didahulukan melebihi mana-mana perkara sunat.
Suami dan bapa atau penjaga pula perlulah mengizinkan jika telah dapat dipastikan pemergian isteri atau anaknya itu selamat daripada pelbagai bentuk fitnah.


Berhijab, menutup aurat

Dalam keterujaan memakmurkan masjid, jangan lupa hal yang lebih utama daripada itu iaitu perihal penjagaan aurat yang rata-rata masih ramai dalam kalangan golongan Hawa yang masih mengambil remeh akan hal ini.
Ramai yang pergi ke masjid dalam keadaan di bahagian atasnya bertelekung litup tetapi di bawahnya sendat, singkat, dan jarang pula jadinya. Hal seperti ini disebut sebagai tabarruj jahiliyyah yang mana ia dilarang keras oleh ALLAH.

ALLAH berfirman: "Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah bertabaruj (berhias dan bertingkah laku) seperti orang jahiliah yang dahulu.” (Surah Al-Ahzab: 33)

Antara syarat menutup aurat ialah: Menutup seluruh badan, tidak membentuk tubuh, tidak singkat dan ketat, tidak jarang, tidak juga pakaian kemasyhuran, tidak juga pakaian yang menyerupai pakaian orang kafir dan tidak juga berpakaian yang menyerupai pakaian golongan lelaki.


Tiada semburan wangian

Minyak wangi atau perfum kini seolah-olah tidak mampu lagi dipisahkan daripada kehidupan seorang wanita. Namun sedarkah wanita sekalian Nabi SAW melarang keras wanita daripada mengenakan minyak wangi terutama apabila mereka menghadiri masjid sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam  Muslim dalam sahihnya.

Lebih keras lagi, Rasulullah SAW bersabda dalam hal ini: “Mana-mana wanita yang mengenakan wangi-wangian lalu keluar ke masjid, maka solatnya tidak akan diterima sehinggalah dia mandi (bagi menghilangkan bau wangian tersebut).” (Riwayat Baihaqi)


Merendahkan suara

Perintah merendahkan suara secara umumnya bukanlah untuk golongan wanita sahaja, terutama apabila kita berada di masjid. Ini berdasarkan peringatan ALLAH yang bermaksud: "Dan bersederhanalah kamu dalam berjalan dan rendahkanlah suaramu.

Sesungguhnya seburuk-buruk suara itu adalah suara keldai." (Surah Luqman: 19)

Adapun bagi golongan wanita, adab bagi menjaga suara ini jauh lebih ditekankan Islam demi menjaga kehormatan wanita juga hati lelaki yang mendengarnya.

ALLAH berfirman: "Wahai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian bukanlah seperti wanita lain jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu melunakkan suara kamu ketika berbicara, sehingga ia boleh menimbulkan keinginan kepada orang yang ada penyakit di dalam hatinya dan berbicaralah dengan kata-kata yang baik.” (Surah Al-Ahzab: 33)

Jika wanita suci seperti isteri Nabi Muhammad SAW masih diperintahkan agar menjaga lunak suara mereka, maka wajarlah wanita lain untuk mengambil iktibar daripada perintah ALLAH ini.


Menundukkan pandangan

Selain menjaga aurat dan lenggok suara, wanita juga diingatkan agar menundukkan pandangan mereka daripada melihat  lelaki bukan mahram. Hal ini sangat biasa terjadi di kawasan umum termasuk di masjid.
Menjaga pandangan mata adalah antara kunci bagi menjaga kehormatan secara keseluruhannya. Jiwa yang mendatangi rumah ALLAH secara ikhlas untuk beribadah wajib memelihara matanya terlebih dahulu, barulah ia akan memberikan nilai yang terbaik kepada setiap ketaatan yang dilakukannya di masjid.

ALLAH berfirman: “Katakanlah kepada wanita-wanita beriman, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka…” (Surah Al-Nur: 31)

Imam Ibnul Qayyim rahimahullah mengumpamakan pandangan mata seperti cerminan hati. Apabila seorang hamba berjaya menjaga matanya pastilah ia akan berjaya menjaga syahwatnya.


Demikianlah secara ringkas hal yang wajar dijaga dan dititik-beratkan wanita yang ingin memakmurkan masjid ALLAH di bulan penuh berkat ini. Selain  peringatan di atas, wanita juga wajib menjaga pergaulannya dengan lelaki, memelihara lidahnya serta adab asas Muslim apabila berada di masjid.

Semoga dengan penelitian dalam menjaga hal di atas dapat menjamin kualiti ibadah yang dikerjakan di masjid bahkan menambah lagi nilainya. Sebaliknya jika hal ini diremehkan ia bakal merendahkan nilai ibadah yang kita kerjakan dan ia adalah seburuk-buruk dan serugi-rugi pekerjaan.


Petikan dari Sinar Harian 






P/S: Takpe kita buat Allah yang Maha mengetahui..tak buat pun kita diam je.. *peace no war*


Post a Comment

0Comments

Thank you for coming by.
Comments are your responsibility.
Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988.
Comment wisely, and do it with pure intentions.

Happy Blogging.

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Ok, Go it!