Assalamualaikum wbt..
Perkongsian bersama dari penulisan Ustaz Pahrol Mohamas Juoi.
Baca dan renung-renungkan dan selamat beramal hehehe
MENCARI KECANTIKAN ISTERI BUKAN ISTERI YANG MASIH CANTIK…
”Mengapa dia tidak faham rintihan hati aku?” keluh seorang sahabat rapat kepada saya.
”Bukan aku tidak cinta, tetapi tolonglah berhias diri,” tambahnya lagi.
”Mengapa? Teruji sangatkah?”
”Apa tidaknya… di pejabat aku berdepan dengan berbagai-bagai wanita. Semuanya berhias dan berwangi-wangian.”
“Kau menjaga pandangan?”
“Bukan sahaja pandangan tetapi penciuman. Dunia akhir zaman, kau bukan tidak tahu.”
”Ya, iman kita sering teruji,” balas saya, seaakan-akan menumpang keluhannya.
”Yang aku hairan tu, isteri aku ni bukan tidak cantik… cantik. Tapi entahlah, sekarang ni semakin hilang moodnya untuk menjaga diri.”
”Kita akan dah semakin berusia. Apa lagi yang kita cari dalam hidup ini,” pujuk saya untuk meredakannya.
”Tetapi itu bukan alasan untuk dia tidak menjaga diri. Kita sebagai suami sering diuji, setidak-tidaknya berilah sedikit bantuan untuk kita hadapi ujian itu.”
Saya senyum. ’Bantuan’ yang dimaksudkannya membawa pelbagai tafsiran.
”Kau yang mesti mulakan dulu, insy-Allah isteri akan mengikut nanti,” cadang saya.
”Ya, aku dah mulakan. Mudah-mudahan dia dapat ’signal’ tu…”
”Amin.”
Saya termenung memikirkan ’masalah kecil’ yang kekadang boleh mencetuskan masalah besar itu. Sepanjang pergaulan saya telah ramai suami yang saya temui mengeluh tentang sikap isteri yang malas berhias. ”Apa guna, kita dah tua.” ”Alah, awak ni tumpu ibadat lah.” ”Dah tua buat cara tua.” Itulah antara alasan yang kerap kita dengar daripada para isteri.
Ramai suami yang baik, tidak memilih jalan singkat dan jahat untuk menyelesaikan masalah seperti menyimpan perempuan simpanan, pelacuran dan sebagainya. Ada juga yang ingin mencari jalan baik… (eh, seperti poligami) tetapi tidak berapa berani berdepan dengan isteri. Ada juga yang terus memendam rasa seperti sahabat rapat saya itu.
”Tak berani poligami?”
Dia menggeleng kepala.
”Tak ada calon ke?” saya mengusik lagi.
”Ramai…”
Memang saya lihat pada usia awal 40’an dia tambah segak dan bergaya.
“Habis kenapa?”
Dia diam. Saya renung wajah sahabat saya yang begitu akrab sejak dahulu. Dia memang lelaki baik, berakhlak dan begitu rapi menjaga ibadah-ibadah khusus dan sunat.
“Aku sayang isteri aku. Sangat sayang. Aku tidak mahu hatinya terguris atau tercalar. Aku kenal dia… Walaupun mungkin dia tidak memberontak, tetapi kalau aku berpoligami dia pasti terluka.”
” Kau sudah berterus terang dengannya?”
“Tentang apa tentang poligami?”
“Bukanlah. Tapi tentang sikapnya yang malas berhias dan bersolek tu?”
“Aku takut melukakannya.”
“Tak palah kalau begitu, biar kau terluka, jangan dia terluka,” saya berkata dengan nada sinis.
Dia faham maksud saya.
”Aku sedang mencari jalan berterus-terang,” dia mengaku juga akhirnya.
”Tak payah susah-susah. Katakan padanya dia cantik, tetapi kalau berhias lebih cantik…”
”Lagi?”
”Katakan kepadanya, berhias itu ibadah bagi seorang isteri. Jadi, bila kita yakin berhias itu ibadah, tak kiralah dia telah tua ke atau masih muda, cantik atau buruk… dia kena berhias. Dapat pahala, walaupun tak jadi cantik, atau tak jadi muda semua,” saya senyum. Kemudian ketawa. Pada masa yang sama saya teringat apa yang dipaparkan oleh media massa bagaimana ’ayam-ayam’ tua (pelacur-pelacur tua) yang terus cuba menghias diri untuk menarik pelanggan-pelanggan mereka. Mereka ini berhias untuk membuat dosa… Lalu apa salahnya isteri-isteri yang sudah berusia terus berhias bagi menarik hati suami mereka – berhias untuk mendapat pahala? Salahkah?.
”Kita para suamipun banyak juga salahnya,” kata saya.
”Kita tak berhias?”
”Itu satu daripadanya. Tapi ada yang lebih salah daripada itu,” tambah saya lagi.
”Salah bagaimana?”
”Salah kita kerana kita masih mencari isteri yang cantik bukan kecantikan isteri!”
”Dalam makna kata-kata kau tu…”
”Tak juga. Sepatutnya, pada usia-usia begini fokus kita lebih kepada kecantikan isteri… Di mana kecantikan sejati mereka selama ini.”
”Pada aku tak susah. Pada hati mereka. Pada jasa dan budi yang selama ini dicurahkan untuk kita demi membina sebuah keluarga.”
”Ya, jangan tengok pada kulit wajah yang luntur tetapi lihat pada jasa yang ditabur. Bukan pada matanya yang sudah kehilangan sinar, tetapi lihat pada kesetiaan yang tidak pernah pudar. Itulah kecantikan seorang isteri walaupun mungkin dia bukan isteri yang cantik.”
”Kau telah luahkan apa yang sebenarnya aku rasakan. Itulah yang aku maksudkan tadi… aku tak sanggup berpoligami kerana terlalu kasihkannya.”
”Kasih ke kasihan?” saya menguji.
”Kasihan tak bertahan lama. Tetapi aku bertahan bertahun-tahun. Aku kasih, bukan kasihan.”
”Relaks, aku bergurau. Tetapi ada benarnya kalau isteri katakan bahawa kita telah tua.”
”Maksud kau?”
”Bila kita sedar kita telah tua… kita akan lebih serius dan lajukan pecutan hati menuju Allah! Bukan masanya untuk berlalai-lalai lagi.”
” Ya, aku teringat kisah Imam Safie. Ketika usianya mencecah 40 tahun, dia terus memakai tongkat. Ketika muridnya bertanya kenapa? Kau tahu apa jawabnya?”
Saya diam.
”Beliau berkata, aku ingatkan diriku dengan tongkat ini bahawa usiaku sudah di penghujung, bukan masanya lagi untuk berlengah, tetapi untuk menambah pecutan dalam ibadah menuju Allah.”
Saya diam. Terus termenung. Imam Safie, tak silap saya wafat pada usia awal 50’an. Tepat sungguh firasatnya. Insya-Allah, jalannya menuju Allah sentiasa diredhai.
“Kalau kita seserius Imam Safie, insya-Allah, kita boleh hadapi masalah isteri tidak berhias ini. Kita akan cari kecantikannya yang abadi untuk sama-sama memecut jalan menuju Ilahi…” tegas sahabat saya itu.
”Kita tidak akan lagi diganggu-gugat oleh godaan kecantikan dari luar yang menguji iman. Kita juga tidak akan dikecewakan oleh pudarnya satu kecantikan dari dalam yang mengganggu kesetiaan.”
”Ya, kalau kita baik, isteripun akan baik. Bila hati baik, kita akan cantik selama-lamanya!”
Ironinya, ramai suami yang telah berusia masih belum sedar hakikat ini. Di tahap begini tidak salah mengharap isteri yang masih cantik, tetapi yang lebih utama carilah di mana kecantikan isteri kita, yang selama ini telah puluhan tahun hidup senang dan susah bersama kita. Perjalanan kita semakin dekat ke alam akhirat. Sepatutnya, kita semakin menjadi pencari kecantikan yang sejati. Seperti imam Safie … pada usianya mencapai 40 tahun sudah memakai tongkat. Ketika ditanya mengapa? Dia menyatakan bahawa telah nekad untuk melajukan lagi langkahnyamenuju akhirat. Malangnya, pada usia-usia begini ramai suami yang mula juga mencari tongkat… sayangnya, bukan ’tongkat muhasabah diri’ tetapi tongkat Ali!
Sumber copy and paste dari SINI
P/S: Hidup selalu di uji..sabar dan tabah dengan segala macam yang bakal datang..
LIKEEEE
ReplyDeletePenuh bermakna dan terkesan di hati.. suami isteri kena faham tanggungjawab masaing-masing. Insyallah kekal hingga keakhir hayat..
ReplyDelete