PROF DR MUHAYA - KENAPA SUSAH SANGAT NAK BERUBAH

Sis Lin
4

PROF DR MUHAYA - KENAPA SUSAH SANGAT NAK BERUBAH | Banyak orang berniat hendak berubah. Tetapi, selalunya niat yang baik itu tidak kesampaian, atau berlaku pun cuma sekejap, bak kata pepatah Melayu, “Hangat-hangat tahi ayam” – bersemangat sekejap aje, selepas beberapa lama niat dan semangat itu lesap entah ke mana. Mengapakah sering berlaku begitu? Cuba audit diri kita, mengapakah sukarnya kita istiqamah untuk berubah menjadi lebih baik dari hari ke hari?

Orang yang mahu berubah daripada sikap negatif kepada positif pertama, mesti berdoa dan paksa diri untuk berhijrah meninggalkan kawan-kawan yang negatif kepada kawan-kawan yang positif atau baik, kerana gambaran diri kita akan terpancar daripada dengan siapa orang yang sentiasa kita dampingi. Kedua, jangan benarkan alam sekeliling menentukan fikiran dan emosi kita. Emosi, fikiran dan perbuatan kita hari ini akan menjadi magnet diri kita, pada pandangan mata dan tanggapan hati masyarakat.

Penghalang kepada peluang untuk seseorang berubah adalah kerana pertama, masalah yang datang daripada tanggapan masyarakat. Banyak orang suka menghukum individu berdasarkan kesilapan yang telah dilakukannya pada masa lalu. Sedangkan kalau setiap orang menyedari bahawa orang yang berada di kancah yang buruk pada hari ini, sebenarnya mereka itu bermula daripada bayi yang suci, kita tentu akan memudahkan mereka mencari laluan pulang ke pangkal jalan iaitu, jalan kebenaran. Ingatlah Allah lebih suka orang yang berdosa tetapi bertaubat, dan jika kita berniat ingin memimpin mereka ke jalan yang baik kerana Allah, Allah akan memudahkan urusan kita.

Kedua, halangan yang datang daripada diri mereka sendiri. Mereka tidak ada keyakinan diri untuk berhadapan dengan masyarakat, kerana malu dengan kisah silam mereka yang buruk dan berfikir bolehkah masyarakat menerima mereka kembali? Bagi mengatasi masalah mereka yang malu ini, cuba kita sebagai orang yang ingin membawa mereka ke jalan kebenaran yang memulakannya. Caranya dengan menunjukkan minat untuk mengambil tahu dan mengambil berat terhadap diri mereka. Tanya khabar, tanya apakah aktiviti mereka dan apakah rancangan untuk membina masa hadapan baharu mereka, sebagai cara untuk mendekati mereka.

Apabila kita berasa mereka sudah semakin boleh didekati cuba kita minta mereka membuat sesuatu untuk kita atau masyarakat. Manusia ini lumrahnya lebih suka apabila mereka berasa diri mereka berguna. Apabila mereka mampu menunjukkan yang mereka berguna dalam kalangan kawan-kawan atau masyarakat, imej diri mereka akan positif, dan barulah mereka suka akan diri mereka. Setelah kita berjaya membuatkan mereka suka kepada diri mereka, barulah mereka pula akan suka kepada kita.

Hal ini kerana orang yang dibelenggu oleh rasa malu yang mendalam pada hidup mereka, memang tidak suka dikritik dan sensitif apabila orang meragui kebolehan mereka, dan tidak yakin akan kemampuan diri mereka. Mereka juga sering kelihatan seperti tidak menyayangi diri mereka sendiri, hingga sanggup melakukan perkara yang semakin merosakkan kehidupan mereka sendiri.

Permasalahan mereka ini semakin rumit jika semasa kecil, emak atau ayah mereka suka mengutuk serta membeza-bezakan dan membanding-bandingkan kasih sayang antara adik-beradik mereka, hingga imej diri mereka menjadi sangat rendah.

Malah, menjadi semakin rumit jika keluarga terdekat, ibu bapa dan adik-beradik mereka membuang mereka serta tidak dapat memaafkan mereka, yang dianggap telah menconteng arang ke muka keluarga mereka dengan kesilapan yang telah dilakukan mereka. Mereka yang ada masalah tidak sayang kepada diri sendiri, biasanya mengalami kekosongan jiwa. Manusia akan berjiwa kosong apabila dia tidak tahu tujuan hidup, tidak ada konsep hidup dan tidak ada fokus hidup.

Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita cuba membantu keluarkan diri mereka daripada kepompong perasaan malu dan tidak disayangi yang memerangkap kehidupan mereka. Fokus kepada kebaikan dengan mencari kebaikan mereka bukan fokus kepada kelemahan dan kesalahan mereka. Dalam menasihati mereka, jangan menghukum, jangan bersangka buruk, berterus terang cakap dari hati ke hati apa yang patut dan tidak patut mereka lakukan serta, apa yang kita harapkan terjadi dan apa yang sepatutnya dielakkan.

Binalah akaun emosi yang positif. Dalam disiplin kedoktoran, “Mencegah lebih baik daripada mengubati”. Oleh sebab itu betapa pentingnya ibu bapa memperuntukkan masa memberikan kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak. Walau sesibuk mana sekalipun, ibu bapa perlu mencari masa yang berkualiti untuk mendidik, memberikan perhatian dan memberikan kasih sayang kepada anak-anak agar mereka tidak terjebak kepada gejala yang tidak baik.

Hari ini bagi keluarga yang anak-anak masih kecil dan isteri sibuk bekerja, bapa/suami kena pandai membahagikan masa dan memperuntukkan masa untuk keluarga. Mesti ada misi dan visi yang jelas dalam menangani hidup rumah tangga antara suami dengan isteri. Sebelum berkahwin sudah membuat perjanjian dan bercakap dengan terang dan tegas tentang prinsip rumah tangga yang mahu dibina. Kena tahu niat mengapa kita hendak kahwin dan mengapa kita hendak ada zuriat. Ibu bapa kena faham apa yang perlu mereka dahulukan dan apa yang perlu mereka tinggalkan.

Terapkan nilai kehidupan positif kepada diri anak-anak sejak kecil lagi dan bina imej diri positif kepada anak-anak. Guna perkataan positif sebagai cara untuk tanamkan imej diri positif anak-anak, yang difahaminya dan tersemat di hati mereka. Dengan harapan imej diri positif yang diamalkannya sejak kecil dan akan menjadi nilai diri mereka apabila anak-anak besar kelak. Tanam kepercayaan pada hati anak-anak yang dia seorang yang baik hati, penyayang, suka memberi, suka membantu orang, dia seorang yang kuat, genius dan apa-apa sahaja imej positif yang kita mahu anak kita jadi apabila mereka besar kelak.

Mereka perlu dijelaskan mengapa mereka perlu bersikap positif dan manfaatnya, hingga mereka faham. Ingat jangan jadikan sesi hafalan untuk mereka ingat tabiat positif yang kita ibu bapa mahu tanamkan dalam diri anak-anak kita, sebab hafalan hanya menggunakan otak, tidak datang dari hati. Tetapi, pastikan mereka melakukannya dari hati dan dapat merasakan kesan positifnya. Biar anak ingat dengan hati dan anak-anak akan bertanya mengapa mereka perlu bersikap demikian, hingga mereka percaya perkara itu betul. Dan mereka akan terima sikap positif yang kita tanamkan di hati mereka sebagai nilai murni hidup mereka, walau di mana pun mereka berada kelak.

Ibu bapa kena tanam imej diri positif ini hingga anak percaya bahawa mereka memiliki sikap-sikap positif yang menjadikan nilai diri mereka sangat berharga di mata keluarga dan masyarakat. Belum terlambat lagi untuk kita bertindak dan berubah, daripada kehidupan negatif kepada positif. Pimpinlah anak-anak kita untuk sama-sama berubah ke jalan kebenaran.

Sesungguhnya jika kita ingin berubah, berdoalah setiap hari agar hati kita menjadi lembut, suka kepada kebaikan, mudah melihat kelemahan diri, ubah dunia dalaman untuk melihat dunia luaran atau hasil kehidupan kita menjadi positif. Bersyukur sekarang dan optimistik terhadap masa hadapan kita, pasti kita akan tenang. Sentiasa bersyukur, tidak mengeluh, merungut dan menyalahkan masa lepas kita serta menjadi orang yang suka memudahkan urusan orang dengan kita. Ingat dengan Allah kita bersyukur atas segala pertolongan-Nya, dengan manusia kita berterima kasih kerana budi dan jasanya. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.


Artikel Penuh:







P/S: Nak jadi baik tak susah, yang penting kita cuba (Sis cuba). Biarpun percubaan itu perlahan, bukan mendadak, sekurang-kurangnya ada. InsyaAllah, kita semua memperoleh kebaikan yang dicari.


إرسال تعليق

4تعليقات

Thank you for coming by.
Comments are your responsibility.
Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988.
Comment wisely, and do it with pure intentions.

Happy Blogging.

إرسال تعليق

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Ok, Go it!