HASILKAN KEHIDUPAN YANG POSITIF, BUAT PILIHAN YANG BETUL - PROF DR MUHAYA MUHAMAD

Sis Lin
0
HASILKAN KEHIDUPAN YANG POSITIF, BUAT PILIHAN YANG BETUL - PROF DR MUHAYA MUHAMAD |  SEMUA orang mahukan hasil kehidupan yang baik/positif; hidup dalam tenang, bahagia, sihat dan memiliki wang yang banyak. Namun begitu, tidak semua orang mampu memilikinya.

Ada orang memiliki banyak wang, tetapi hidup mereka tidak tenang dan bahagia kerana menghadapi penyakit kronik. Dengan sebanyak mana wang pun tidak dapat mengubati penyakit mereka, malah hidup mereka hanya menunggu dan mengira hari kematian.

 Wang tidak mampu membahagiakan kita apabila sakit. Ada orang yang miskin hidup mereka, tetapi hidup bahagia dan tenang, kerana mereka diberi Allah kesihatan yang baik. Sesungguhnya, walaupun, segala-galanya memerlukan wang, tetapi tidak semua masalah boleh diselesaikan dengan wang. 

Ada orang yang kaya raya hidup mereka, tetapi hidup tidak tenang, kerana takut hilang kekayaan dan semakin tamak dengan kekayaan duniawi. Mereka sanggup berbuat apa-apa sahaja, walaupun menyalahi dari segi hukum agama, mereka tidak kira asalkan boleh dapat apa yang mereka hajatkan.

Sebaliknya ada orang yang miskin, tetapi sentiasa bersyukur dan reda dengan apa yang mereka ada dan tidak pernah persoalkan apa yang mereka tiada. Ingatlah bahawa “wang” akan membuka “topeng” siapa kita, (sama ada dengan wang itu kita menjadi orang yang lebih beriman atau sebaliknya). Perangai/sikap kita dipengaruhi oleh “pilihan”. 

Setiap orang boleh mendapat hasil kehidupan yang positif/baik dengan cara mempraktikkan formula “Reset Minda”; FIKIRAN POSITIF – EMOSI POSITIF – RESPONS POSITIF – TINDAKAN POSITIF – HASIL KEHIDUPAN POSITIF, dengan membuat pilihan kehidupan yang betul.

Perangai/sikap manusia ini, 50 peratus sahaja pengaruh hidup kita dikuasai oleh genetik yang diwarisi daripada ibu dan ayah kita, dan 10 peratus sahaja dipengaruhi oleh persekitaran. Dan 40 peratus lagi kehidupan dan perangai/sikap kita dipengaruhi oleh “pilihan” kita yang berdasarkan kepada “fikiran”.

Untuk mendapatkan empat hasil kehidupan yang positif iaitu :

Pertama, untuk mendapatkan ketenangan, tingkatkan ketakwaan – “Orang tenang sentiasa menang”. 
Kedua, untuk mendapatkan kebahagiaan, jaga silaturahim – “Bahagia dan membahagiakan”.
 Ketiga, untuk mendapatkan kesihatan, pilih pemakanan – “Makan makanan sihat, bukan makan makanan sedap”. 
Keempat. untuk mendapatkan kekayaan, gigih dalam pekerjaan – “Duit alat meningkatkan ketakwaan”. 

Jom kita lakukan transformasi pertama; daripada orang yang tidak tenang menjadi tenang.

Menyesal

Transformasi pertama yang mesti dilakukan adalah transformasi akidah, ibadah dan akhlak. Renung, nilai dan perbetulkan diri sendiri dahulu, sejauh mana hubungan kita dengan Allah; kalau jauh dekatkan, kalau rapuh teguhkan. Nilai kehidupan keluarga kita; adakah memberat ke arah duniawi dengan “kesedaran keegoan”, atau memberat ke arah persediaan kehidupan di akhirat dengan “kesedaran ketuhanan”? 

Apabila urusan dengan Allah terjaga, urusan dengan sesama manusia juga akan terencana dengan penuh makna. Kita akan tenang jika setiap hari dapat mengelak daripada membuat dosa dan mempertingkat keimanan kepada Allah SWT. “Tinggal kedegilan dan mulakan ketakwaan”.

Buang Negatif

Kedua, jom kita melakukan transformasi; daripada orang yang hidup duka lara kepada hidup bahagia. Untuk bahagia hapuskan semua pemikiran negatif yang membuahkan tujuh emosi negatif yang akan membunuh kebahagiaan, iaitu rasa takut, benci, dendam, tamak, tahyul, marah dan dengki. Kita melebihkan penghargaan, menyebut kebaikan dan mengurangkan kritikan.

Jangan bersedih mengenang masa silam, kita tidak akan menjadi seperti yang ada kini, kalau tidak melalui zaman silam itu. Kalau kita berdosa, bertaubat. Kalau melakukan kesilapan, betulkan. Kalau melukai hati orang, mohon maaf. Kalau hati dilukai, maafkan. Lakukan transformasi diri tinggalkan segala yang negatif dan mulakan kehidupan positif. Jika kita tutup semua kisah duka lara kita, kita akan melupakannya dan kebahagiaan pasti menjelma.

Pemakanan

Ketiga, jom kita melakukan transformasi; daripada orang yang sakit kepada orang sihat. Racun paling utama dalam pemakanan kita, tanpa manusia sedari ialah “gula”. Gula menjadi penyebab utama penyakit kencing manis. Kencing manis pula, menjadi penyebab utama kepada penghidapnya mengalami kegagalan buah pinggang dan seterusnya menjadi buta.

 Selepas menjadi doktor mata lebih 30 tahun, (daripada pengalaman dan pengamatan), saya dapati kebanyakan pesakit datang berjumpa saya untuk rawatan matanya yang kronik, dalam keadaan buah pinggangnya yang rosak, dan kaki dipotong, sama ada sebelah atau kedua-duanya sekali. Banyak orang menyalahkan faktor luaran yang menyebabkan nasibnya menjadi buruk, tetapi tidak menyalahkan faktor dirinya yang silap dalam membuat pilihan keputusan kehidupannya.

Oleh sebab itu, kita mesti lakukan transformasi, menghindari tabiat hidup yang suka memilih makanan sedap, bukan makanan sihat. Mulai dari sekarang mari kita banyak meminum air kosong daripada memilih minuman bergula atau berkarbonat. Di tangan kitalah letaknya pilihan makanan yang hendak disuapkan ke mulut; yang akan menjadi “racun” (menjadikan kita sakit) atau “zat” (menjadikan kita sihat). Ingatlah, melakukan kesilapan bukanlah satu kesilapan. Tetapi, mengulangi kesilapan yang sama itulah kesilapan yang sebenar.

Masa

Keempat, jom kita melakukan transformasi; daripada orang miskin kepada menjadi kaya. Dua perkara yang paling berharga adalah: masa dan fikiran. Jaga bagaimana cara kita menggunakan kedua-duanya. Bekerja dengan ikhlas tanpa mengharapkan penghargaan, dan bekerja keras mencari kekayaan yang menjadi perantaraan untuk meningkatkan ketakwaan.

Ramai orang takut menjadi kaya dan lebih reda hidup dalam kemiskinan atau kesederhanaan. Takut menjadi kaya, sebab tanggapan negatif; apabila kita kaya bimbang kita menjadi sombong dan lupa diri. Hiduplah di dunia ini sebagai destinasi untuk memberi, dan hiduplah di akhirat sebagai tempat untuk menerima dan dapat apa yang telah kita buat sepanjang hayat. Jadilah kita seorang yang dengan kekayaan boleh bahagia dan membahagiakan orang. 


Ingatlah bahawa, hanya orang yang bahagia dapat membahagiakan orang, dan hanya orang yang tenang dapat menenangkan orang. Semua orang mendambakan kebahagiaan/kegembiraan dan ketenangan. Bagi mengecap kebahagiaan dan ketenangan abadi amalkan empat perkara.

Pertama, kasih sayang tanpa syarat. Kedua, sentiasa memaafkan. Ketiga, penuh bermurah hati. Keempat, bergantung hanya kepada Allah SWT. Jangan biarkan apa-apa yang berlaku semalam, mengganggu masa kita hari ini. Oleh itu berhenti daripada menyesal dan menyalahkan apa yang berlaku semalam. Niat gunakan hari ini sebaik mungkin, untuk dekat dengan Allah dan mencari kejayaan di dunia dan akhirat. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.





P/S: Nak bahagia, tenang? Memaafkan sebelum tidur. Tapi lukanya sakitnya hati ini, ianya tetap berparut hingga akhir hayat.. *Buat KAU jika KAU membacanya. 


إرسال تعليق

0تعليقات

Thank you for coming by.
Comments are your responsibility.
Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988.
Comment wisely, and do it with pure intentions.

Happy Blogging.

إرسال تعليق (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Ok, Go it!