MERDEKAKAN MINDA DARIPADA PEMIKIRAN NEGATIF | Kehidupan manusia terdiri daripada empat komponen, iaitu badan fizikal untuk melaksanakan tindakan, minda untuk berfikir, hati untuk merasa dan roh untuk memberikan makna kehidupan. Sehati sejiwa bermaksud, fahami diri kita dan fahami diri orang lain sama macam kita fahami diri kita. Iaitu, apa yang orang tidak suka kita pun tidak suka, jika perkara negatif tersebut terjadi kepada kita. Kalau kita tidak suka dicaci dan dihina orang, kita pun jangan menghina dan mencaci orang.
Kalau kita mahu dihormati dan disayangi, maka hormati dan sayangi orang lain terlebih dahulu. Ingat konsep pemikiran Reset Minda, ADA – BERI – DAPAT. Apatah lagi Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, perlu menghormati antara satu sama lain, daripada segi agama, adat resam dan budaya. Perlu Sehati dan Sejiwa menyayangi antara satu sama lain.
Laksanakan kebaikan tanpa syarat, saling mencintai, saling memberi manfaat dan buangkan sikap atau sifat negatif. Seperti sikap sombong, tidak menerima kebenaran dan meremehkan orang lain. Sikap riak, takbur dan hendak dipuji sahaja, kalau tidak dipuji tidak okey. Ingatlah, siapa yang kurang yakin diri akan ingin dihargai dan orang tinggi harga diri akan menghargai orang lain.
Jom merdekakan minda kita daripada pemikiran negatif agar kita dapat mengecap kehidupan yang baik dan penuh manfaat. Namun begitu, apa-apa yang kita lakukan mesti dengan rasa ikhlas dan jujur. Pertama, jujur melihat diri kita. Jujur kerana berani melihat diri sendiri iaitu, daripada segi kesilapan, kelemahan, keaiban dan dosa-dosa diri pada masa lalu.
Jujur kerana berani mengaku dosa-dosa dan kesilapan kita masa kita muda dahulu. Apabila kita berani melihat dosa-dosa kita pada masa silam, kita pasti tidak ada masa dan tidak berani untuk melihat dosa orang lain. Kalau kita sekarang melihat orang melakukan dosa, kita tidak akan mengata mereka, sebalik kita akan muhasabah diri.
Bahawa kita dahulu pun banyak berbuat dosa dan kesilapan dalam hidup, sama macam mereka juga. Kedua, melihat menerima kelemahan diri kita dengan niat untuk memperbaiki diri. Ketiga, jujur dalam berinteraksi dengan nilai integriti yang tinggi. Tidak mengapa kita kehilangan pangkat di dunia tetapi, jangan hilang kejujuran. Usah kita mengulangi kesilapan yang sama dan jadikan kejujuran cara hidup kita. Lagi kurang kejujuran lagi banyak alasan.
Dalam kehidupan ini kita boleh pilih antara membuat pilihan atau mencari alasan. Semakin banyak alasan yang kita beri semakin tinggi ego kita, untuk memberikan alasan atas perkara yang kita tidak mahu buat. Jangan mulakan pembohongan sebab melemahkan. Merdekakan diri kita daripada belenggu sifat negatif yang mengongkong kita.
Lihat pada kelemahan diri bukan orang lain. Kita tertekan sebab sibuk melihat kelemahan, kekurangan dan kesilapan orang, serta kita sibuk hendak orang tersebut berubah. Jom kita berubah dahulu sebelum mengubah orang lain. Zaman sekarang zaman laman sosial, yang menjadikan sesuatu berita mudah dapat dan cepat tersebar dengan luas tanpa sempadan.
Siapa yang mencelikkan “mata hatinya" akan pandai memilih apa yang dia hendak dilihat. Orang yang celik mata hati tidak akan memilih melihat perkara tidak baik.
Kalau nampak perkara negatif kita tidak tularkan tetapi kalau nampak perkara positif kita tularkan. Untuk celik mata hati, dengan ilmu, pilih kawan dan lihat kawan di laman sosial kita. Kalau kawan itu banyak membawa ke arah negatif jangan dekati profil mereka.
Kalau mata hati kita jernih kita dapat nampak membezakan yang baik dan buruk, tetapi jika mata hati kita gelap yang baik dan buruk kita nampak sama sahaja. Lebih payah lagi apabila yang baik nampak tidak baik dan sebaliknya. Jadi audit diri dahulu. Kalau orang itu berasa dirinya bagus, suka tunjuk kehebatan keluarga dan kita berasa iri hati dan dengki, tanya kenapa mesti dengki dan iri hati.
Orang yang merdeka ialah orang yang bebas daripada jajahan mata nafsunya. Untuk memantapkan mata hati kita perlu bebaskan diri kita daripada terpenjara dengan mata nafsu, hingga kita mudah terpengaruh dengan orang - iaitu hendak ikut dan sama dengan orang. Banyak orang menyalahkan faktor luaran menyebabkan nasibnya menjadi buruk, tetapi tidak menyalahkan diri yang silap dalam membuat keputusan kehidupannya.
Sama ada sesuatu itu satu masalah atau pun peluang, bergantung pada cara kita berfikir dan cara kita melihatnya dan cara kita menanganinya. Oleh itu, jika kita mengubah cara melihat sesuatu peristiwa dan kejadian, perkara yang negatif pun akan menjadi positif. Jom setiap hari kita fikirkan perkara yang bermanfaat dan berniat untuk memberikan sebanyak mungkin manfaat kepada orang sekeliling.
- Prod Dr Muhaya Muhamad.
P/S: Sudah Merdekakah hati korang? ..
Wah artikel yg menarik 👍 thanks for sharing this.
ردحذفSesama @AZ. MOga bermanfaat buat kita semua ..
حذفAda batas2 kemerdekaan di hati.
ردحذفBenar @Wak..merdekakan hati dari semua situasi negatif...
حذفjadi lah orang yang sentiasa positif, kunci utama untuk bahagia
ردحذفBetul..nak bahagia? Selalu postif dan bersangka baik @Sunah ...
حذفBetul tu sis. Merdekakan diri dulu. Baru kita rasa bebas dri perkara negatif.
ردحذفKannn @Ena...postif ke arah yang lebih baik...
حذف