Gambar dari https://www.donna.com.my/tag/bertangkas/ |
Selamat ke makan jamu?
Sukar untuk kita katakan adakah penggunaan jamu dapat memberikan kesan positif kepada wanita berpantang. Ini berikutan ia mengambil masa yang agak lama berbanding dengan ubat terkawal untuk menunjukkan sebarang kesan (sekiranya ada). Penggunaan barang-barang terlarang di dalam jamu merupakan tindakan yang dianggap terdesak bagi segelintir penjual untuk meyakinkan pembeli akan keberkesanan jamu.
Penjual bukan sahaja bakal terdedah kepada sebarang tindakan undang-undang malah pembeli juga berisiko untuk mendapat kesan sampingan yang kadang kalanya boleh menyebabkan kerosakan organ seperti buah pinggang dan hati. Hal ini semakin lama semakin berleluasa berikutan sikap pembeli yang menginginkan ubat idaman yang mampu memberikan kesan dalam tempoh masa yang singkat.
Sebagai pengguna, sudah semestinya korang ingin menggunakan produk jamu selepas bersalin yang bagus. Pihak penjual menjadi semakin rakus dalam menyaingi penjual yang lain bagi memastikan produk mereka laris di pasaran. Ini menimbulkan pelbagai jenis permasalahan seperti:
- Pemalsuan sijil pendaftaran produk
- Penjualan produk yang tidak berdaftar
- Menggunakan pernyataan keterlaluan dalam mempromosikan produk jualan
- Pemberian maklumat palsu kepada pembeli berkaitan dengan pembekal produk tersebut
- Menyiarkan testimoni palsu daripada pelanggan yang tidak wujud
Kini, terdapat pelbagai jenis tindakan yang boleh diambil oleh pengguna yang mengesan kewujudan produk-produk seperti ini. Nombor pendaftaran produk yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh disemak di laman sesawang Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan. Namun, usaha bagi membanteras penjualan produk yang tidak disahkan oleh KKM atau penggunaan bahan terlarang adalah bergantung kepada pengguna.
Kesan sampingan penggunaan jamu
Walaupun ada sebahagian produk jamu itu telah diluluskan oleh KKM, ia tidak bermakna keberkesanan produk tersebut telah terbukti. Memang penjual produk akan memberitahu korang bahawa mereka menjual produk jamu selepas bersalin yang bagus disertakan dengan nombor pendaftaran KKM. Namun, berbanding dengan kategori ubat lain seperti ubat terkawal, ubat tanpa preskripsi dan suplemen kesihatan, keberkesanan ubat tradisional seperti jamu dan majun tidak terjamin.
Pendaftarannya bertujuan bagi memastikan tiada bahan terlarang yang digunakan untuk menghasilkan ubat tersebut seperti:
- Ubat tahan sakit
- Ubat steroid
- Ubat kencing manis
Penggunaan ubat tersebut boleh menyebabkan kesan sampingan seperti berikut:
- Masalah gastrik
- Pendarahan di dalam perut kesan daripada penggunaan ubat seperti ubat anti-inflammatori bukan steroid dalam jangka masa yang lama
- Kerosakan organ buah pinggang
- Sindrom Steven-Johnson
- Kabur penglihatan
- Sindrom Cushing
- Lebam pada badan
- Hipertensi
- Kebengkakan
- Peningkatan selera makan dan berat badan
Mengapakah perkara ini boleh berlaku sedangkan ubat yang digunakan di dalam jamu itu berasal daripada senarai ubat yang telah diluluskan oleh KKM?
Ini berikutan dos yang digunakan oleh sesetengah pengeluar berbeza. Ada juga bahan lain yang boleh memberikan interaksi kimia jika dicampurkan dengan bahan aktif yang digunakan untuk membuat ubat terkawal atau ubat tanpa preskripsi, sekali gus menyebabkan kesan negatif kepada pengguna.
Korang mungkin melayari pelbagai jenis laman web bagi mencari produk jamu selepas bersalin yang bagus. Namun, jika keselamatannya tidak dijamin oleh KKM melalui pendaftaran produk tersebut, korang mungkin berisiko untuk mengalami kesan sampingan serius melibatkan organ dalaman.
Undang-undang di Malaysia berkaitan dengan penjualan produk jamu
Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Akta Jualan Dadah 1952 merupakan undang-undang berkaitan produk farmaseutikal yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan Malaysia. Ia bagi memastikan penjualan produk yang tidak dikeluarkan oleh KKM didaftarkan dan diperiksa terlebih dahulu dalam aspek keselamatan dan kualiti bahan. Menurut laman sesawang KKM, jika dilaporkan oleh pengguna, penjual boleh disabitkan kesalahan seperti berikut:
- Bagi produk tidak berdaftar atau mempunyai bahan larangan, penjual boleh didenda RM25,000 atau penjara 3 tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, jumlah denda adalah sebanyak RM50,000 atau penjara 5 tahun atau kedua-duanya sekali.
- Pemilik syarikat pengeluar produk boleh didenda RM50,000 pada kesalahan pertama dan RM100,000 pada kesalahan berikut
Bukan pengguna sahaja perlu memeriksa kualiti bahan ubat serta memastikan ia tidak mempunyai unsur-unsur ubat terlarang, agen penjual juga perlu memahami dan mengetahui maklumat tersebut. Ia bagi mengelakkan dakwaan terhadap diri anda sebagai agen yang menjual produk tersebut.
Perlu ke pakai produk tradisional selepas bersalin?
Kebanyakan rakyat di negara membangun lebih cenderung untuk memilih perubatan tradisional berbanding dengan perubatan moden dalam mengubati sesuatu keadaan kesihatan. Pada sidang konferens “Strategi Perubatan Tradisional”, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menganggarkan hampir 60% daripada populasi penduduk di seluruh dunia bergantung kepada perubatan tradisional.
Jumlah tersebut didominasi oleh penduduk di negara Afrika yang kebanyakannya bergantung kepada perubatan alternatif dalam kehidupan seharian. Produk tradisional seperti majun dan jamu kebiasaannya digunakan untuk kelihatan lebih muda dan meningkatkan keaktifan tubuh badan. Perkara tersebut sebenarnya boleh dicapai dengan mudah jika korang mengamalkan gaya hidup sihat seperti pemakanan seimbang, aktif bersukan/ bersenam dan tidur pada kadar 7 hingga 8 jam sehari.
Berikut merupakan langkah yang boleh diambil bagi memastikan kesihatan anda berada pada tahap optimum selepas melahirkan anak:
- Tidur sewaktu bayi anda tidur. Untuk memastikan badan anda mendapatkan rehat yang cukup, anda perlu tidur pada kadar 7 hingga 8 jam sehari. Namun, bayi kebiasaannya tidur selama 10.5 ke 18 jam dengan waktu berjaga di antara 2 ke 3 jam. Ada juga bayi yang terbangun setiap 3 jam sekali apabila kelaparan. Maka adalah penting untuk anda menyesuaikan diri dan tidur bersama bayi yang sedang tidur.
- Ambil makanan berkhasiat. Usah terpedaya dengan ubat tradisional yang ‘boleh’ memberi kebaikan dan khasiat pemakanan selepas bersalin. Ada ke jamu selepas bersalin yang bagus untuk dipakai? Mungkin ada, namun dengan pengamalan gaya pemakanan seimbang, anda tidak perlu menghabiskan duit membeli produk jamu untuk kekal sihat. Ambil makanan mengikut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia melalui konsep pinggan suku-suku separuh. Elakkan daripada mengambil makanan ringan dan jika lapar, makan buah atau kekacang sebagai snek dalam kuantiti yang sederhana.
- Melakukan senaman. Jika tidak pasti, rujuk doktor anda. Senaman ringan seperti berjalan, berbasikal dan berjoging kebiasaannya tidak akan mendatangkan kemudaratan kepada wanita selepas bersalin. Selain daripada menurunkan risiko untuk mendapat kemurungan postpartum, anda boleh menikmati pemandangan di luar, menghirup udara segar dan menurunkan tahap tekanan emosi akibat terlalu lama berkurung di dalam rumah.
Kesimpulannya
Masih tercari-cari akan jamu selepas bersalin yang bagus? Jika korang ingin mencuba produk jamu yang ada terjual di pasaran, pastikan korang memeriksa status pendaftarannya dengan KKM terlebih dahulu sebelum membeli. Jika korang masih keliru, rujuk kepada doktor. Secara amnya, korang tidak memerlukan produk tersebut untuk kekal sihat. Amalkan gaya pemakanan seimbang, bersenam dengan kerap dan dapatkan tidur yang cukup. Korang akan kembali bertenaga selepas bersalin.
Oleh Mohammad Nazri ZulkafliFakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
P/S: Sis ko tiga-tiga anak makan jamu, alhamdulilah semua anak takde penyakit kuning, tu zaman 90an...
Alhamdulillah terima kasih sharing. Zaman sekarang tinggi sangat bacaan kuning anak2. Jadi bila kuning turun, saya amek suplemen 😁
ردحذفYaaa Umi, zaman sekarang, rata-rata lepas aje bersalin, anak mesti kena kuning, tak tau mana silapnya kan...
حذفkita baca jelah sebab memang takkan bersalin lagi dah, bersalin baju je adalah heheheh
ردحذفHehehehe jadikan bahan ilmu untuk guna pakai satu hari nanti Dana ...
حذف