PERLU KE MENGAMBIL VAKSIN INFLUENZA? | Jika korang mempunyai rakan atau ada dalam kalangan korang yang telah dijangkiti dengan virus influenza, pasti korang tertanya-tanya akan keperluan mengambil vaksin. Vaksin influenza telah mendapat permintaan yang tinggi sejak akhir tahun 2019.
Kebanyakan orang awam mengambil vaksin tersebut daripada fasiliti swasta memandangkan stok yang ada di hospital kerajaan terhad dan dikhususkan kepada golongan tertentu sahaja. Artikel ini akan membicarakan berkenaan dengan keperluan korang sekeluarga untuk mengambil vaksin.
Perlu ke ambil vaksin influenza
Vaksin influenza adalah alternatif selamat jika korang ingin melindungi diri korang daripada jangkitan influenza. Mereka yang mempunyai sistem pertahanan yang normal kebiasaannya boleh sembuh dalam masa seminggu dua.
Namun bagi golongan berisiko seperti orang tua, kanak-kanak yang berusia di bawah 2 tahun dan mereka yang mempunyai masalah dengan sistem imun, mereka mudah untuk mendapat komplikasi yang teruk akibat daripada jangkitan tersebut.
Oleh itu mereka yang terbabit, digalakkan untuk mengambil vaksin influenza.
Bagaimana pula dengan ahli keluarga yang lain? Adakah mereka yang tidak mempunyai sebarang penyakit berkaitan sistem imun tidak perlu mengambil vaksin?
Semua individu digalakkan untuk mengambil vaksin. Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) menyarankan semua individu yang berusia 6 bulan dan ke atas perlu mendapatkan vaksin influenza setiap tahun berikutan virus tersebut mudah untuk mengalami mutasi.
Mereka yang berusia 6 bulan sehingga 8 tahun memerlukan 2 dos vaksin manakala individu yang berusia 9 tahun dan ke atas memerlukan satu dos suntikan vaksin setahun. Walaupun vaksin yang diberikan tidak memberikan perlindungan kepada semua jenis strain namun ia masih berkesan dalam menghindarkan jangkitan influenza daripada berlaku.
Mekanisme vaksin influenza
Vaksin influenza berupaya untuk menghasilkan antibodi bagi strain virus tertentu untuk mengelakkan jangkitan influenza. Kandungannya berubah setiap tahun mengikut kepada kajian terbaharu mengenai strain paling lazim dijumpai.
Penghasilan antibodi akan memakan masa selama 2 minggu selepas korang mengambil suntikan vaksin. Ia digunakan bagi merangsang sistem pertahanan badan untuk menghasilkan antibodi terhadap virus influenza.
Maklumat berkenaan strain influenza tersebut akan disimpan dalam ingatan sel darah putih. Jika virus yang sama memasuki tubuh badan individu, ia akan menghasilkan antibodi pada kadar yang cepat untuk melawan virus tersebut.
Individu tersebut dianggap imun terhadap jangkitan virus influenza memandangkan sistem pertahanan badan sudah mempunyai “senjata” untuk membasmi kemasukannya ke dalam tubuh badan.
Selamat ke vaksin influenza?
Seperti produk vaksin yang lain, vaksin influenza telah melalui pelbagai jenis kajian dan ujian klinikal bagi memastikan keberkesanan dan keselamatannya. Ada ura-ura yang mengatakan bahawa vaksin ini akan menyebabkan terjadinya masalah selesema sebagai kesan sampingan. Namun menurut CDC, tiada bukti klinikal yang menunjukkan bahawa vaksin ini akan menyebabkan permasalahan tersebut.
Jika ingin dibandingkan kesan sampingan vaksin influenza dengan komplikasi yang berisiko dialami oleh individu, ia tidaklah seserius mana. Perkara yang perlu korang ingat adalah virus influenza kerap mengalami mutasi dan ia berpotensi untuk menyebabkan komplikasi yang serius.
“Kalau saya alergi dengan telur, bolehkah saya mengambil vaksin influenza?”.
Menurut CDC, vaksin influenza masih boleh diberikan jika pengambilan telur hanya menyebabkan anda mengalami hives (gegata). Namun, jika korang risau atau khuatir dengan risiko terhadap kesan alergi tersebut, rujuk doktor korang untuk mendapatkan khidmat nasihat perubatan.
Dengan kata lain, jika korang alergi dengan telur, keputusan untuk membenarkan atau melarang pengambilan vaksin adalah bersifat klinikal. Tanpa pemeriksaan yang teliti oleh doktor, tiada keputusan boleh dibuat memandangkan risiko kesan sampingan berbeza pada setiap individu.
Namun, jika korang mempunyai sejarah komplikasi teruk akibat mengambil vaksin yang berasaskan telur, maka ia merupakan kontraindikasi (keadaan yang menandakan ketidaksesuaian suatu bentuk rawatan) kepada pengambilan vaksin. Apa yang korang boleh buat adalah menggalakkan pengambilan vaksin oleh individu yang berada dalam lingkungan sosial korang.
Jika mereka terlindung daripada jangkitan influenza, maka korang turut terlindung. Perkara ini memberi penekanan terhadap pengambilan vaksin oleh ahli keluarga korang terutamanya mereka yang berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi influenza.
Vaksin untuk bayi berusia 6 bulan ke bawah?
Jika korang sedar, CDC menyarankan had usia minimum bagi menerima vaksin iaitu pada usia 6 bulan. Korang mesti tertanya-tanya kan? Bagaimana pula dengan mereka yang berusia 6 bulan dan ke bawah? Adakah mereka tidak berisiko untuk mendapat jangkitan influenza?
Tidak banyak kajian yang dijalankan bagi menyiasat kesan vaksin influenza dari konteks fisiologi dan kesan negatif terhadap kanak-kanak yang berusia 6 bulan ke bawah. Buat masa sekarang, masih tiada lagi bukti yang menunjukkan bahawa pemberian vaksin kepada golongan tersebut dapat memberikan kebaikan imunologi untuk melawan virus influenza.
Kanak-kanak yang berusia 6 bulan ke bawah mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami komplikasi serius jangkitan influenza. Terutama sekali jika anak tersebut dilahirkan oleh ibu yang tidak pernah terdedah kepada virus influenza. Walau bagaimanapun, jumlah kajian yang membuktikan mengenai hal ini sangatlah sedikit.
Tanpa dapatan kajian yang cukup berkaitan dengan keberkesanan vaksin dalam menghindarkan jangkitan virus influenza, pemberiannya terhadap golongan kanak-kanak berusia 6 bulan ke bawah dianggap tidak beretika. Walaupun ada negara yang membenarkan pemberian vaksin kepada bayi yang berusia 2 bulan dan ke atas, polisi pemberian vaksin seharusnya berteraskan dapatan kajian klinikal.
Pada tahun 2005, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyarankan pemberian vaksin kepada ibu mengandung. Kajian pada tahun 2009 telah menunjukkan bahawa penggunaan vaksin tersebut kepada ibu mengandung bukan sahaja selamat, malah ia boleh menghindarkan bayi daripada jangkitan influenza sehingga mereka berusia 6 bulan.
Walau bagaimanapun, menurut CDC, penggunaan vaksin influenza terhadap ibu mengandung masih lagi tidak mencapai tahap yang memberangsangkan.
Kesimpulannya
Jika korang masih belum mendapatkan suntikan vaksin influenza, dapatkannya daripada klinik swasta terdekat. Ajak rakan dan keluarga korang untuk sama-sama mendapatkan vaksinasi bagi melindungi kelompok sosial anda daripada jangkitan virus influenza.
Harga vaksin influenza kebiasaannya antara RM50 sehingga RM100. Ura-ura yang mengatakan bahawa harga vaksin naik sehingga mencecah RM150 kerana bekalan vaksin tidak mencukupi sudah disangkal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Oleh Mohammad Nazri ZulkafliFakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
P/S: Sis pun menunggu vaksin sampai ni, jangkanya dalam 3/4 hari ini. Kita tunggu.
Semoga dipermudahkan urusan kita sekua dalam mengawal penularan wabak ni
ReplyDeleteAaamiinn, moga di lindungi selalu Umi...
DeleteSemoha kita sentiasa dipelihara dari wabak penyakit ni.:'(
ReplyDeleteAaamiinn...sangat menakutkan..hati-hati ya Aien...
Deletesemoga dijauhkan. aamiin
ReplyDeleteAamiinn..insyaAllah ..
Delete