20 MANFAAT REBUNG PADA KESIHATAN, ANTARANYA BANTU CEGAH KANSER DAN RENDAHKAN KOLESTROL | Korang suka dan makan rebung? Kalau Sis bukanlah kata suka, tapi kalau ada tu makan aje. Dan pernah juga masak sendiri sayur rebung. Tapi pastikan beli yang segar dan tidak berbau. Kalau jenis berbau tu, adoii belum masak rasa nak muntah oii.. orang kata bau bacin 'hancing' kan?..
“Melentur buluh biar dari rebungnya”. Peribahasa Melayu ini bermaksud kita perlu membentuk sesuatu daripada awal, bukan setelah ia matang. Jadi, apakah gambaran yang boleh didapati melalui peribahasa ini? Ia seolah-olah menggambarkan rebung buluh ini adalah sesuatu yang masih muda dan lembut. Di negara kita khususnya, ia digunakan sebagai bahan masakan dan antara yang terkenal adalah dimasukkan ke dalam kuah masak gulai, kuah masak lemak ataupun di dalam sayur lodeh.
Di China, Taiwan, Jepun dan hampir kebanyakan negara di Asia Tenggara termasuklah Malaysia, menggunakan rebung sebagai salah satu sumber bahan makanan ekoran sifatnya yang kaya dengan nutrisi dan dikenali dengan gelaran “raja sayuran”. Apakah kandungan nutrien di dalamnya yang menyebabkan ia sangat popular sebagai bahan makanan? Mungkin ramai yang belum maklum akan khasiat sayuran ini terhadap kesihatan. Sila ikuti artikel ini untuk mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut.
Apa itu rebung?
Rebung adalah pucuk buluh yang masih muda dan lembut serta boleh dimakan. Ia mempunyai pelbagai spesies dan antara yang paling terkenal adalah Bambusa vulgaris dan Phyllostachys edulis. Masyarakat Asia terutamanya akan menggunakan ia sebagai salah satu bahan makanan sama ada dimakan mentah, diproses, dikeringkan atau ditinkan.
Selain itu, sayuran ini memiliki pelbagai kandungan nutrisi di dalamnya seperti karbohidrat, protein dan dua belas asid amino penting yang sangat diperlukan oleh tubuh badan kita. Pengambilannya dikatakan mampu menjadi salah satu daripada tindakan awal untuk mencegah pelbagai jenis penyakit berbahaya, termasuklah kanser.
Namun begitu, sayuran ini yang masih mentah mengandungi cyanogenic glycosides, iaitu sejenis toksin yang juga wujud di dalam ubi kayu. Toksin ini perlu dibuang terlebih dahulu menerusi kaedah memasak dan ia merupakan punca utama sayuran ini selalunya akan direbus terlebih dahulu sebelum dimakan.
Apa kegunaan rebung?
Untuk pengetahuan korang, rebung adalah salah satu daripada tumbuhan yang paling banyak kegunaannya di dunia ini. Penggunaannya ada tercatat di dalam kesusasteraan China lama yang mengimbau kembali zaman Dinasti Tang (618 selepas masihi – 907 selepas masihi), yang menulis tentang manfaat pengambilan rebung sebagai bahan makanan. Ini mungkin merupakan penulisan pertama berkenaan rebung yang pertama dalam sejarah kemanusiaan.
Selain itu, antara bukti penting yang lama adalah mengimbau kembali ke Dinasti Ming (1368 selepas masihi – 1644 selepas masihi) yang juga menceritakan mengenai kepelbagaian manfaat rebung terhadap kesihatan.
Manakala di Jepun, rebung dikenali sebagai “raja sayuran” ekoran kekayaan nutrisinya. Sebenarnya terdapat banyak spesies rebung, cuma ada sesetengah sahaja yang boleh digunakan untuk pelbagai kegunaan selain untuk dimakan.
Setiap bahagian sayuran ini digunakan oleh masyarakat di Asia oleh pelbagai etnik termasuklah masyakat Malaysia. Ia digunakan untuk pelbagai tujuan termasuklah pembinaan sebagai sokongan untuk binaan, bangunan atau rumah, perabot, alat muzik seperti seruling, dizi, xiao dan shakuhachi serta penghasilan kertas.
Menurut kajian yang diterbitkan oleh Indian Institute of Technology di Delhi, sayuran ini adalah salah satu daripada sumber makanan yang dimakan di kebanyakan negara Asia seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, China, Taiwan, Korea, Jepun, India, Nepal dan lain-lain negara di benua Asia yang lain.
Rebung boleh ditemui secara mentah, diproses, dikeringkan atau ditinkan di pasar malam, pasar tani atau pasar raya. Rebung mentah boleh bertahan sehingga sekurang-kurangnya 2 minggu sekiranya tidak disejukbekukan dengan baik dan didedahkan dengan terlalu banyak cahaya matahari. Kesannya, rasa sayuran ini akan menjadi sedikit pahit.
Sebelum memasaknya, adalah sangat disarankan untuk merebusnya atau merendamnya di dalam air selama semalaman kerana dikhuatiri ada spesies yang mengandungi sianida, yang boleh disingkirkan melalui proses yang disebutkan tadi. Sebatian ini dikatakan berbahaya kepada manusia.
Menurut kajian yang dilakukan terhadap tikus, sianida ini akan menyebabkannya muntah-muntah, cirit-birit serta sakit pada bahagian perut. Pun begitu, kajian lanjut yang berfokuskan manusia perlu dilakukan untuk menguatkan lagi dakwaan ini.
Kandungan nutrisi rebung
Sebenarnya, sayuran ini sangat kaya dengan pelbagai nutrisi. Berikut merupakan kandungan nutrisinya yang korang perlu tahu:
Kalori 42
Lemak 0.5 g / 0%
Lemak tepu 0.1 g / 0%
Lemak tidak tepu 0.2 g
Lemak tidak tepu tunggal 0 g / 0%
Kolesterol 0 mg / 0%
Sodium 6 mg / 0%
Potasium 805 mg / 23%
Magnesium 1%
Karbohidrat 8 g / 2%
Serat 3.3 g / 13%
Gula 4.5 g
Protein 3.9 g / 7%
Zat besi 4%
Vitamin A 0%
Kalsium 2%
Vitamin C 10%
Vitamin D 0%
Vitamin B-6 20%
Vitamin B-12 0%
Manfaat rebung terhadap kesihatan
Disebabkan sifat semula jadinya yang sangat kaya dengan pelbagai nutrien, sudah pasti sayuran ini akan memberi manfaat kepada korang, bukan? Berikut merupakan beberapa manfaat rebung terhadap kesihatan korang :
#1. Membantu mencegah kanser
Seperti mana juga tumbuhan lain, sayuran ini juga mengandungi phytonutrients yang boleh berfungsi sebagai antioksidan yang sangat kuat. Kita sudah sedia maklum bahawa antioksidan adalah salah satu daripada sebatian penting yang mampu menghalang tubuh badan kita daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas. Paling bahaya, ini akan mengakibatkan kerosakan pada DNA sekali gus meningkatkan risiko kanser. Selain itu juga, sayuran ini turut mengandungi chlorophyll yang mampu membantu menghalang mutasi sel.
#2. Membantu merendahkan kolesterol
Menurut kajian yang dijalankan oleh Jhon dan Park dari Washington State University, didapati bahawa sayuran ini akan memberi kesan positif kepada kolesterol dalam darah. Sayuran ini mengandungi serat yang sangat tinggi sekali gus menjadikannya sebagai salah satu peranan yang penting dalam usaha merendahkan kolesterol dalam darah. Pengambilannya dalam amaun yang banyak dan kerap mampu mengurangkan kadar LDL (kadar ketumpatan lipoprotein) yang juga dikenali sebagai “lemak jahat”.
#3. Membantu memperbaiki sistem penghadaman
Seperti mana yang diketahui ramai, serat adalah nutrien yang sangat penting untuk memastikan sistem penghadaman kekal sihat. Kekurangan pengambilan makanan yang mengandungi nutrien ini akan menyebabkan pelbagai masalah terhadapnya. Jadi, pengambilan sayuran ini yang sangat kaya dengan serat pasti akan membantu. Ia bukan sahaja akan membantu melancarkan pergerakan usus korang malahan juga membantu memastikan pertumbuhan bakteria baik di dalam usus.
#4. Membantu melegakan sembelit
Selain sangat bagus untuk sistem penghadaman, serat juga dikenali dengan keupayaan semula jadinya untuk membantu melegakan masalah sembelit. Serat di dalam sayuran ini akan membantu melembutkan najis agar ia lebih mudah melepasi saluran usus besar sekali gus melegakan masalah sembelit. Jadi, selalu tambahkan ia ke dalam diet korang jika korang tidak mahu masalah sembelit ini berulang lagi.
#5. Membantu mengurangkan berat badan
Untuk pengetahuan korang, sayuran ini juga sangat rendah kalori dan lemak. Ini menjadikannya sebagai salah satu daripada sajian yang sempurna buat individu yang sedang mencuba untuk mengurangkan berat badan mereka. Selain itu, pengambilannya juga boleh membuat korang berasa kenyang lebih lama. Ini sekali gus akan mengurangkan pengambilan makanan dan berat badan korang juga!
#6. Membantu menormalkan metabolisma
Sayuran ini juga mengandungi amaun mangan tinggi yang boleh membantu proses pembentukan enzim metabolik. Pengambilannya boleh membantu menormalkan metabolisma dengan membekalkan tubuh badan dengan mangan.
#7. Membantu mengekalkan tulang kuat
Sayuran ini turut mengandungi kalsium, yang seperti mana ramai sudah tahu kepentingannya di dalam memastikan ketumpatan tulang dan mengelakkan osteoporosis. Walaupun kandungannya tidak setinggi seperti yang terdapat di dalam pelbagai produk tenusu, pengambilannya masih mampu membekalkan kalsium yang mencukupi buat kesihatan tulang dalam tubuh badan kita.
#8. Membantu merendahkan tekanan dalam darah
Selain itu, sayuran ini mengandungi kandungan serat yang sudah pasti akan memberi kesan kepada tekanan dalam darah korang. Bukan itu sahaja, kandungan potasium yang tinggi di dalamnya juga akan membantu mengawal kestabilan cecair dalam tubuh badan sekali gus mengekalkan tekanan dalam darah yang sentiasa normal.
#9. Membantu mencegah serangan sakit jantung
Phytonutrients yang terkandung di dalam sayuran ini memainkan peranan yang sangat penting di dalam memastikan fungsi jantung selalu berada dalam kondisi yang baik. Menurut kajian, phytosterols yang juga terkandung di dalamnya mampu mencegah kolesterol LDL terurai dalam tubuh badan. Kolesterol ini akan berisiko meningkatkan serangan jantung. Dalam pada itu, ia juga mengandungi potasium yang juga sangat penting untuk mengawal kadar degupan jantung yang normal.
#10. Membantu mencegah aterosklerosis
Disebabkan sifatnya yang mampu merendahkan tahap kolesterol dalam tubuh badan, sayuran ini juga mampu menghalang perkumpulan kolesterol dalam saluran darah terutamanya arteri. LDL atau “lemak jahat” adalah punca utama aterosklerosis dan merupakan punca utama serangan jantung.
#11. Membantu mencegah diabetes
Kandungan serat yang tinggi di dalam sayuran ini mampu melambatkan proses penyerapan gula ke dalam darah jadi ia akan memastikan kadar glukosa sentiasa kekal di paras normal selepas makan. Kandungan gula dalam darah yang tinggi adalah sangat berbahaya dan ia akan mengakibatkan rintangan insulin yang sekali gus akan meningkatkan risiko diabetes.
#12. Membantu mencegah anemia
Zat besi adalah mineral yang penting untuk pembentukan sel darah merah. Kekurangannya boleh mengakibatkan anemia, satu kondisi di mana sel darah merah sangat rendah lalu memberi kesan kepada peredaran oksigen terhadap keseluruhan tubuh badan. Pengambilan sayuran ini yang kaya zat besi mungkin dapat membantu.
#13. Membantu meningkatkan fungsi sistem imun
Mungkin ramai yang belum tahu bahawa sayuran ini sebenarnya sangat kaya dengan mineral, vitamin dan antioksidan yang mampu meningkatkan fungsi sistem imun untuk melawan penyakit. Antioksidan yang terdapat di dalamnya mampu menguatkan lagi sel imun untuk melawan radikal bebas dan menghalang ia daripada masuk ke dalam tubuh badan yang boleh menyebabkan tekanan oksidatif kepada tubuh badan.
#14. Membantu mengurangkan keradangan
Sayuran ini sebenarnya mempunyai keupayaan untuk mengurangkan keradangan yang berlaku terhadap tubuh badan kerana ia bersifat antiradang. Pengambilannya secara kerap mampu mengelakkan korang daripada keradangan yang disebabkan oleh infeksi virus, bakteria atau pelbagai faktor yang lain.
#15. Membantu menjaga kesihatan kulit
Sayuran ini bukan sahaja memiliki sifat antiradang, malahan juga mempunyai sifat antifungus yang sangat membantu dalam merawat masalah kulit yang disebabkan oleh fungus. Selain itu, sayuran ini turut berfungsi mempercepatkan proses penyembuhan kulit ekoran sifat antiradangnya. Vitamin dan mineral yang dipunyainya juga mampu membantu dalam proses penciptaan sel kulit baharu sekali gus menyembuhkan luka.
Dalam pada itu, sayuran ini juga mengandungi vitamin E yang sangat bagus untuk kulit. Vitamin ini merupakan antioksidan yang mampu membantu mencegah radikal bebas yang akan merosakkan bahagian tubuh badan terutamanya kulit selain mempercepatkan proses penuaan. Jadi, sayuran ini merupakan pilihan bagus untuk memastikan kulit korang kekal sihat dan muda.
#16. Membantu merawat gigitan haiwan atau serangga
Dalam perubatan ayurveda, sayuran ini sangat terkenal mempunyai kesan yang hebat dalam menjernihkan kembali darah yang telah dicemari oleh toksin atau racun. Masyarakat India Purba menggunakannya untuk merawat individu yang terkena gigitan ular, kala jengking dan labah-labah atau pelbagai lagi haiwan atau serangga berbisa.
#17. Membantu mengubati masalah pernafasan
Sifat antiradang yang dipunyai dalam sayuran ini juga sangat membantu mengubati masalah pernafasan yang kebiasaannya berlaku pada bahagian atas saluran pernafasan seperti tekak, hidung atau mulut seperti sakit tekak, batuk atau selesema. Air rebusan sayuran ini dikatakan mampu mengubati masalah pernafasan dengan meminumnya bersama dengan madu.
#18. Membantu mengubati ulser
Ulser adalah sesuatu yang sangat mengganggu kehidupan korang terutamanya ketika korang minum atau makan, bukan? Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Sundararaj dan Muniappan, sayuran ini mampu berfungsi sebagai ubat tahan sakit atau analgesik yang boleh membantu melegakan perut atau mulut yang mengalami ulser serta membantu proses penyembuhannya.
#19. Membantu merawat infeksi urin
Infeksi pada urin adalah disebabkan oleh jangkitan bakteria. Disebabkan sayuran ini yang bersifat antioksidan dan antiradang, risiko infeksi ini mungkin dapat dikurangkan dan jika ia telahpun terjadi, ia dikatakan mampu membantu merawatnya.
#20. Membantu merawat kelewatan melahirkan anak
Menurut kajian yang dijalankan oleh O’Brien dan Gruber daripada University of Vienna, didapati bahawa sayuran ini merupakan salah satu daripada ribuan tumbuhan yang mempunyai sifat uterotonik. Selain itu, individu yang mengamalkan perubatan tradisional Cina sangat percaya dengan keupayaan sayuran ini yang mempunyai sifat uterotonik, yang boleh membantu menggalakkan kontraksi rahim. Dalam pada itu, mereka juga menggunakannya sebagai ubat untuk merawat wanita hamil yang mengalami kelewatan melahirkan anak.
Pun begitu, manfaat-manfaat yang dinyatakan dipunyai oleh sayuran ini hanya sekadar membantu dan bukan memberi kesan penuh seperti mana ubatan yang akan dibekalkan oleh doktor. Jadi, tidak salah untuk menggunakan rebung sebagai bahan makanan kerana ia memang mengandungi nutrien yang sangat bagus untuk kesihatan.
Kesimpulannya, rebung adalah sayuran yang sangat rendah kandungan lemak, kalori dan kolesterol serta tinggi kandungan serat, vitamin dan mineral serta pelbagai lagi nutrien yang diperlukan oleh tubuh badan anda. Jadi, ini sahaja sudah menjadikan ia sebagai salah satu tumbuhan yang sihat di planet ini.
Bukan itu sahaja, sebenarnya terdapat banyak manfaat pengambilan rebung ini sebagai sumber makanan terhadap kesihatan kita. Antara kekuatannya adalah sifat antioksidan dan antiradangnya yang boleh mengelakkan berlakunya radikal bebas serta keradangan terhadap tubuh badan.
Selain itu, ia juga sangat bagus untuk kulit. Seperti mana yang dipercayai oleh masyarakat kuno, sayuran ini mengandungi vitamin D yang sangat bagus untuk menyembuhkan luka, mengekalkan kesihatan kulit serta melambatkan proses penuaan.
Sumber : Hello Doktor
Gambar : Mat Gebu
P/S: Biasa masak Lemak Siput Sedut letak Rebung dalamnya.. atau Udang Lemak Rebung tu haaa.. sedapnyaa lahaii..
Sedapnya. Masak lemak. Lama tak makan rebung.
ReplyDeletepaling sedap laa ni kalau dimasak lemak..
ReplyDelete