SESUNGGUHNYA MATI ITU PASTI | TIAP-TIAP yang mempunyai jiwa akan merasakan kematian. Sejak akhir-akhir ini terlalu banyak kita dengar khabar kematian, baik dari kalangan keluarga kita, mahupun kalangan saudara, kawan dan jiran. Allahuakbar, sesungguhnya mati itu pasti..
Sis juga tak terkecuali terima berita kematian kawan sekerja Suami baru aja meninggal, dan juga ada kawan setaman juga meninggal, ada juga sedang bertarung nyawa di ruangan ICU akibat wabak virus Covid19 ni, seolah kematian sedang dekat dengan kita, namun sejauh mana kita benar-benar bersiap sedia untuk itu? Dan sejauh mana pula kematian orang lain memberi kesedaran dalam hati kita?.
Mendengarkan kisah kematian setiap hari dan menghadapi kematian yang tersayang bukanlah satu perkara yang kecil. Hakikatnya perpisahan tidak pernah mudah. Setiap yang bernyawa pasti akan mati. Tiada yang kekal di dunia. Begitu juga kita. Semuanya bersifat sementara.
Sis dah merasai betapa peritnya pedih saat kehilangan orang-orang tersayang di sekliling kita, tapi REDHA, sebab setiap kematian itu adalah rahsia Allah. Masa dan tempat aja tidak kita akan ketahui bila akan berlaku. Cuma kita yakin dengan qada dan qadar ia pasti berlaku.
Dengan mengingati mati, ia bukan sahaja boleh menimbulkan rasa sesal di atas dosa yang dilakukan, malah ia boleh melahirkan ketakutan untuk meneruskan perbuatan yang dilarang oleh Allah.
Cuba kita renungkan Ayat Al Quran Surah Ali Imran Ayat 185, terjemahannya: "Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya".
Kita semua akan merasai kehilangan. Dan kehilangan memang berat. Seseorang yang terbiasa ada bersama kita dan rajin membantu tiba-tiba dipanggil pulang semula kepada pencipta. Kita bukan sahaja perlu redha dengan ketetapan yang satu ini, malah lebih daripada itu kita mesti mengambil pengajaran daripadanya.
Antara persiapan yang boleh kita lakukan untuk mendapat pengakhiran yang baik adalah dengan memperbaiki amalan, seperti menjaga dan memperbaiki solat kita, memperbanyakkan sedekah dan segera melunaskan hutang piutang kita.
Mengingati mati bukan bermaksud kita meninggalkan urusan dunia serta menjauhkan diri daripadanya akan tetapi mengingati mati merupakan satu kaedah supaya kehidupan di dunia kita lebih baik dan lebih berjaya. Ini kerana dengan kita mengingati mati, kita tidak akan melakukan perkara-perkara tidak diredai dan dibenci Allah.
Sabda baginda Rasulullah: "Perbanyakkanlah mengingati mati yang akan menghapuskan kelazatan. Jika ia diingati dan direnungi pada waktu susah, nescaya perasaan akan menjadi lapang dan tenang dan jika ia diingati pada waktu senang, nescaya hati dan perasaan akan sedar dan menginsafi diri." - (HR al-Bazzar 6987).
Kita perlu memperbanyakkan ilmu yang bermanfaat, dan mengajarkannya kepada yang lain. Jika ada anak, adalah tanggungjawab kita untuk mendidiknya menjadi soleh dan solehah. Rajinkan juga membaca dan mengamalkan ayat al-Quran juga solat berjemaah. Teruskan memelihara hubungan baik dengan Allah dan hubungan dengan manusia.
Selain itu kita juga perlu berkongsi segala kelebihan dan ilmu yang kita ada sementara hidup. Jika ada tujuan kita, hidup pasti ada kesudahannya, kelak kita akan diberi balasan untuk setiap perbuatan sama ada baik atau buruk yang kita buat di dunia ini.
Jika kita jaga Allah, Allah pasti akan menjaga kita. Marilah kita sama-sama merenungi perkara ini dan banyak mengucapkan syukur Alhamdulillah atas nikmat yang tidak terhingga banyaknya kita nikmati semasa dunia ini. Janganlah bersedih, kerana Allah itu sentiasa bersama mereka yang bersabar, kerana akhirnya kita semua akan kembali ke tempat yang sama.
Moga kita semua akan mendapat husnul khotimah, insyaAllah...
P/S: Al-Fatihah buat mereka yang telah tiada..
terasa makin menghampiri
ردحذفsaling mengingati ....hidup pasti mati
Al fatihah
ردحذفSetiap hari kita dengar berita kematian kan Sis.
paling sedih bila kawan-kawan di tempat kerja ada yang meningga sebab covid, moga kita semua terhindar dari wabak ini
ردحذفKalau semua mengingati mati, pasti tiada kejahatan dah kat dunia tapi inilah ujian sebelum menempuh hari kematian... Usaha yang terbaik... (Yang tak nak vaksin tu, sila cucuk! TIBBERRRR)
ردحذف