KELEBIHAN MENUNAIKAN SOLAT JUMAAT

Sis Lin
4
KELEBIHAN MENUNAIKAN SOLAT JUMAAT | DALAM kalendar terdapat 7 hari dalam seminggu. Hari yang amat istimewa bagi kaum Muslimin ialah hari Jumaat. Banyak kelebihan yang ada pada hari Jumaat dan keutamaan yang disediakan oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya.

Hari Jumaat merupakan hari yang paling mulia dalam syariat Islam. Ia merupakan penghulu kepada segala hari. Kelebihan hari Jumaat banyak disebutkan dalam hadis-hadis Baginda s.a.w. Kerana itu pada hari Jumaat kita disyariatkan untuk melaksanakan solat Jumaat di masjid. Malah ibadah mulia ini juga dijanjikan pahala yang berlimpah ruah dari Allah S.W.T.

Seruan kepada solat Jumaat disebutkan Allah S.W.T. dalam ayat 9-10 dari surat al-Jumuah dengan mafhumnya,

“Hai orang-orang yang beriman! Apabila diseru untuk menunaikan solat Jumaat, maka bersegeralah kamu mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kau mengetahui. Apabila telah selesai menunaikan solat maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurnia Allah, dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.”

Kelebihan Menunaikan Solat Jumaat

Dan orang yang bersegera hadir ke masjid untuk solat Jumaat akan beroleh ganjaran dan meraih keutamaan yang besar. Malah dalam satu hadis yang lain, setiap langkah mereka beroleh ganjaran seperti berpuasa dan bersolat setahun.

Kelebihan Menunaikan Solat Jumaat : 

1. Hari Paling Mulia

Hari Jumaat adalah hari yang paling utama dan merupakan penghulu segala hari. Terdapat beberapa peristiwa yang terjadi pada hari Jumaat ini.
  
Abu Hurairah R.A meriwayatkan, bahawa Rasulullah SAW bersabda; “Sebaik-baik hari yang matahari terbit padanya adalah hari Jumaat; pada hari inilah Adam Alaihissalam diciptakan, pada hari ini (Adam as) dimasukkan ke dalam syurga, dan pada hari inilah juga Baginda dikeluarkan dari syurga. Dan tidaklah kiamat akan terjadi kecuali pada hari ini.” (HR Muslim)

2. Hari Bagi Kaum Muslimin

Hari Jumaat adalah hari berkumpulnya umat Muhammad SAW dalam masjid untuk mengikuti solat dan sebelumnya mendengar dua khutbah jumaat yang mengandungi wasiat bertaqwa dan nasihat-nasihat, serta doa.

Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli; Yang demikian itu lebih baik bagimu Jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”(Surah Al-Jumaah 62: Ayat 9)

3. Penghulu Segala Hari

Hari Jumaat adalah hari yang teramat istimewa kerana islam meletakkan hari Jumaat sebagai ketua dan ganjarannya lebih berbanding dengan hari-hari yang lain. Dalam suatu hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah: “Jumaat dinamakan sebagai ‘Saidul Ayyam’ iaitu penghulu segala hari (sebaik-baik hari).”

4. Hari Kebesaran Mingguan

Dalam 7 hari yang ada, hari Jumaat adalah ‘Hari Besar’ yang berulang setiap minggu.
Ibnu Abbas Radhiyallahu ‘anhu berkata, Rasulullah saw bersabda: “Hari ini adalah hari besar yang Allah tetapkan bagi Umat Islam, maka siapa yang hendak menghadiri solat Jumaat hendaklah mandi terlebih dahulu.”(HR. Ibnu Majah)

5. Hari Perhimpunan Bagi Solat Jumaat

Solat Jumaat dua rakaat yang difardhukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu adalah semulia hari yang perlu diambil manfaatnya untuk mendapatkan ganjaran Allah SWT daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta; Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu; Sesiapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas; Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam, dan Sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”

Kelebihan Menunaikan Solat Jumaat

6. Hari Ramai Malaikat Turun ke Bumi

Pada hari Jumaat juga, Allah SWT mengutus para malaikat turun ke muka bumi. Di tangan mereka terdapat  tinta kalam emas dan kertas-kertas daripada perak, mereka juga berdiri dan menunggu di pintu-pintu masjid bagi mencatat nama-nama mereka yang hadir ke masjid dan mendirikan Solat Jumaat.

Apabila telah sempurna dan selesai Solat Jumaat, mereka kembali ke arasy untuk menyembahkan hasil catatannya kepada Allah SWT dengan berkata:“Wahai Tuhan kami, kami telah catatkan nama mereka yang masuk masjid dan menunaikan Jumaat.”

Allah SWT berfirman: “Wahai Malaikat-Ku, demi kemuliaan dan kebesaran-Ku, sesungguhnya Aku telah ampunkan mereka, tidak berdosa sedikit pun.”


7. Hari Mustajab Doa

Rasulullah SAW bersabda: “Pada hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba Mukmin apabila meminta (berdoa) kepada Allah SWT sesuatu kebaikan, melainkan Allah SWT memakbulkan doanya atau ia meminta Allah SWT melindunginya daripada sesuatu kejahatan, melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.” (Hadis riwayat Tarmizi).

Hari Jumaat adalah masa yang mustajab untuk berdoa terutama pada dua waktu terbaik iaitu di antara:
  • Imam duduk di atas mimbar sehingga solat selesai Jumaat.
  • Pada akhir waktu Asar.

Ibnu Qayyim Al-Jauzi mengatakan: “Di antara sekian banyak pendapat ada dua yang paling kuat, sebagaimana ditunjukkan dalam banyak hadis yang sahih, pertama saat duduknya khatib sampai selesainya solat. Kedua, sesudah Asar, dan ini adalah pendapat yang terkuat dari dua pendapat tadi.” (Zadul Ma’ad Jilid I/389-390).

8. Hari Dihapuskan Dosa

Diampuni dosa-dosanya antara Jumaat tersebut dengan Jumaat sebelumnya. Sabda Rasulullah SAW: “Solat lima waktu (sehari semalam) dan Jumaat hingga Jumaat merupakan penebus-penebus dosa (ketika itu) selama tidak dikerjakan dosa-dosa besar” (Riwayat Muslim)

Salman Al Farisi berkata lagi, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, bersuci sesuai kemampuan, merapikan rambutnya, memakai minyak wangi, lalu berangkat ke masjid, dan masuk masjid tanpa melangkahi sesiapa, kemudian solat sesuai tuntutan dan diam tatkala imam berkhutbah, nescaya diampuni dosa-dosanya di antara dua Jumaat.” (HR. Bukhari).

9. Hari Lebih Utama Bersedekah

Sedekah pada hari itu lebih utama dibanding sedekah pada hari-hari lainnya.
Ibnu Qayyim berkata: “Sedekah pada hari itu lebih utama dengan sedekah pada enam hari lainnya seumpama bersedekah pada bulan Ramadhan dibanding bulan-bulan lainnya.” 

10. Hari Meraih Pahala

Orang yang hadir dan menunaikan kewajipannya untuk solat Jumaat akan mendapat pahala untuk setiap langkahnya ke masjid, setara dengan pahala ibadah satu tahun solat dan puasa.

Aus bin Aus berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, kemudian bersegera berangkat menuju masjid, dan berada di saf hadapan kemudian dia berdiam, maka setiap langkah yang dia ayunkan akan mendapat pahala puasa dan solat selama satu tahun, dan itu adalah hal yang mudah bagi Allah.” (HR. Ahmad dan Ashabus Sunan, Didakwa sahih oleh Ibnu Huzaimah).

11. Hari Hidayah Daripada Allah SWT

Hari Jumaat merupakan keistimewaan dan hidayah yang Allah SWT berikan kepada umat Islam yang tidak diberikan kepada umat-umat lain sebelumnya.

Abu Hurairah meriwayatkan bahwa Rasulullah SAW bersabda; “Kita adalah umat yang terakhir muncul tapi paling awal tiba pada hari kiamat, dan kita yang pertama kali masuk syurga, cuma mereka diberi Kitab sebelum kita sedangkan kita diberi Kitab setelah mereka. Kemudian mereka berselisih, lalu Allah memberi kita hidayah terhadap apa yang mereka perselisihkan. Inilah hari yang mereka perselisihkan, dan Allah berikan hidayah berupa hari ini kepada kita (Nabi صلى الله عليه وسلم menyebut hari Jumaat). Maka hari (Jumaat) ini untuk kita (umat Islam), esok (Sabtu) untuk umat Yahudi dan lusa (Ahad) untuk umat Nasrani.” (HR Muslim r.a.).

Kelebihan Menunaikan Solat Jumaat

12. Meninggal Pada Hari Jumaat Sebagai Tanda ‘Husnul Khatimah’

Meninggal dunia pada malam hari Jumaat atau siangnya adalah penanda ‘Husnul Khatimah’, iaitu dibebaskan dari fitnah (azab) kubur.

Diriwayatkan oleh Ibnu Amru, bahawa Rasulullah saw bersabda: “Setiap muslim yang mati pada siang hari Jumaat atau malamnya, nescaya Allah akan menyelamatkannya dari fitnah kubur.” (HR. Ahmad dan Tirmizi, undian sahih oleh Al-Bani).

13. Hari Terselamat Dari Seksa Kubur

Orang yang meninggal pada Hari Jumaat, InsyaAllah akan selamat dari fitnah (bencana/seksa) kubur.
Daripada Abdullah bin Amr, sabda Rasulullah SAW: “Tidak seorang Muslim yang mati pada hari Jumaat atau pun malam Jumaat, melainkan diselamatkan oleh Allah SWT daripada fitnah kubur.” (Hadis Riwayat Tarmizi)

14. Hari Berlakunya Kiamat

Jumaat merupakan hari yang selalu dikaitkan dengan berlakunya ‘Kiamat’ (hari pembalasan). Dalam suatu hadis, Rasulullah SAW ada menyebut bahawa:“Pada hari Jumaat juga Kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.” (Hadis Riwayat Muslim r.a.)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda : “Hari Yang Dijanjikan ialah Hari kiamat. Hari Yang Disaksikan ialah Hari Arafah, dan Hari Yang Menyaksikan ialah Hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat.”

Sabda Rasulullah SAW: “Pada hari itu kiamat akan terjadi dan tidaklah seorang pun malaikat muqarrabun pun di sisi Allah Azzawajalla melainkan ia takut pada hari Jumaat, (tetapi) tidak langit dan tidak bumi melainkan ia merasa kasih pada hari Jumaat.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Al-Baihaqi)

15. Hari Dapat Melihat Allah SWT Di Syurga

Hari tatkala Allah SWT menampakkan diri kepada hamba-Nya yang beriman di syurga.

Firman Allah SWT; “Dan di sisi Kami ada lagi tambahan (limpah kurnia yang tidak terlintas di hati mereka).” (Surah Al-Jumuaah 50; Ayat 35)

Seorang sahabat, Anas bin Malik dalam mengulas ayat 35 di atas : “Dan Kami memiliki pertambahannya’; Beliau mengatakan; “Allah SWT menampakkan diri kepada mereka setiap Hari Jumaat.”


P/S: Sekejapan dah hari Jumaat yaa... masa pantas betul berlalu.. 
Tags

Post a Comment

4Comments

Thank you for coming by.
Comments are your responsibility.
Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988.
Comment wisely, and do it with pure intentions.

Happy Blogging.

Post a Comment

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Ok, Go it!