ALLAH SENTIASA ADA BERSAMA KITA | SEDIH itu, sedih ini. Sedih dengan pelbagai perkara seperti kematian, kemalangan, kehilangan, cacian dan makian, umpatan orang dan sebagainya. Ada juga yang bersedih dengan rupa parasnya, bersedih dengan kejadiannya, bersedih mengenangkan nasibnya, sedih dengan cara hidupnya.
Tidak kurang juga yang sedih dengan dirinya yang lemah, keimanannya yang rendah, ibadahnya yang sedikit dan sebagainya. Ada waktu, memang manusia akan merasakan kesedihan. Mungkin kita pernah membaca ayat Al-Quran ini yang berbunyi:
“Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.” (Surah At-Taubah, ayat 40)
Jadi, bagaimana jika kita tetap merasa bersedih? Ini ertinya ada sesuatu yang salah di dalam hati kita. Dalam ayat di atas, kita tidak perlu bersedih sebab Allah bersama kita. Jika kita masih juga bersedih, ertinya kita belum merasakan dekatnya dengan Allah. Yang dimaksud bersedih bukanlah bererti menangis. Menangis adalah bermaksud dalam rangka takut dan berharap kepada Allah, supaya kita bebas dari api neraka.
Bersedih yang dilarang adalah kesedihan akibat ketidaksabaran, tidak menerima takdir dan menunjukkan kelemahan diri.
Bersedih itu adalah fitrah manusia
Para nabi bersedih. Bahkan Rasulullah SAW pun bersedih saat ditinggal oleh orang-orang dicintai dan dicintai baginda. Namun, para nabi tidak berlebihan dalam bersedih. Para nabi segera bangkit dan kembali berjuang tanpa memanjangkan kesedihan. Tetapi sindrom daripada kalangan kita adalah kita suka memanjangkan kesedihan, seakan Allah SWT tidak wujud dalam kehidupan kita.
Bersedih yang tidak diajarkan dalam Islam
Bersedih (selain takut kerana Allah) tidak diajarkan dalam agama. Bahkan kita banyak menemui ayat mahupun hadis yang melarang kita untuk bersedih.
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 139)
Rasulullah SAW pun berdoa untuk agar terhindar daripada kesedihan,
“Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari kekufuran dan kefakiran; Ya Allah, aku berlin-dung kepadaMu dari azab kubur. Tiada Tuhan kecuali Engkau.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Bagaimana caranya supaya kita tidak bersedih lagi?
Jika kita melihat ayat dan hadis yang disebutkan di atas, setidaknya kita sudah memiliki dua kekuatan agar kita tidak terus berada dalam kesedihan.
Pertama:
Dari ayat di atas (Surah At-Taubah, ayat 40) bahawa cara menghilangkan kesedihan ialah dengan menyedari, mengetahui dan mengingati bahawa Allah bersama kita. Jika kita sedar bahawa Allah bersama kita, oleh itu apa yang perlu kita takutkan? Apa yang membuat kita sedih. Allah Maha Kuasa, Allah Maha Penyayang, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik bagi kita.
Saat kesedihan terus menimpa kita, mungkin kita lupa atau hilang kesedaran, bahawa Allah bersama kita. Untuk itulah kita diperintahkan untuk terus mengingat Allah.
“Ingatlah, hanya dengan mengingat Allahlah hati menjadi tenteram.” (Surah Ar-Ra’d, ayat 28)
Dari ayat ini, kita sudah mengetahui cara menghilangkan kesedihan, kecemasan, dan ketakutan iaitu ‘bi zikrillah,’ dengan berzikir memuji Allah.
Saat mengalami kesedihan, ketakutan atau kecemasan, ada tiga kalimat yang sering digunakan untuk berzikir, iaitu:
- Istighfar, memohon ampun kepada Allah.
- La haula wala quwwata illa billah (Tiada daya upaya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah)
- Hasbunallaah wa ni’mal wakiil (Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baiknya Pelindung)
Pasti kesedihan, kecemasan dan ketakutan menjadi reda setelah berzikir dengan kalimat-kalimat di atas. Harus diingat, zikir bukan sahaja di mulut tetapi harus sampai masuk ke hati.
Cara menghilangkan kesedihan ialah dengan berdoa seperti dicontohkan oleh Rasulullah SAW. Nabi pun meminta pertolongan Allah, apa lagi kita, jauh lebih memerlukan pertolongan Allah. Maka berdoalah:
“Ya Allah, aku memohon perlindungan denganMu daripada keluh kesah dan kesedihan, rasa lemah dan kemalasan, Aku memohon perlindungan denganMu daripada sifat penakut dan kebakhilan, dan aku mohon perlindungan denganMu dari bebanan hutang dan dikuasai seseorang.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Doa ini adalah diajarkan Rasulullah kepada Abu Umamah Radiallahu Anhu sewaktu Baginda mendapati beliau sedang bersedihan di dalam masjid.
Kesedihan adalah keperluan tetapi tidak boleh berlebihan
Sedih memang baik. Sekali sekala ia melembutkan hati. Tanda jiwa yang sensitif. Tanda hati yang peka. Tetapi merendam roh kita ke dalam kesedihan terlalu lama akan mereputkannya.
Apakah alasan untuk memanjangkan kesedihan?
Kesedihan tidak akan pernah menjadi penyelesaian kepada sesuatu masalah. Maka perhatikanlah masalah, bergerak menyelesaikannya. Jika masalah itu bukan datang dengan penyesalan, sebagai contoh: Kematian rakan karib, guru tercinta, ibu bapa tersayang dan sebagainya, hendaklah tabah dan melangkahlah memandang apa yang masih ada pada kita.
La Tahzan… Innallaha Ma’ana.Janganlah engkau bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.
Marilah kita jadi hamba yang bersyukur tatkala dikurniakan kegembiraan dan bersabar apabila berdepan dengan kesusahan. Usah jadi golongan yang menyalahkan Allah SWT dengan mengatakan Dia tidak menyayangi kita hanya kerana kesusahan yang ditanggung ketika ini.
P/S: Ya Allah, sihatkanlah Suamiku dan berilah dia kekuatan dalam melawan segala sakitnya, aamiinn..
Ameen... semoga dipermudahkan urusan Sislin & Abg Sabar.
ردحذفAaminn.. untuk Karni juga sekeluarga...
حذفNak hapi2 aje
ردحذفYa Wak.. hidup tenang-tenang aja...
حذف