CARA MERAWAT SAKIT MATA YANG BETUL | BILA dalam group wahtsapp sana sini mengadu dan update status sakit mata, nampak gayanya musim sakit mata sedang menyerang laa ni. Lagipun musim panas ni, memang penyakit sakit mata mudah di jangkiti dan mudah terkena. Sakit mata ni tak kira siapa, budak ke, dewasa ke, warga emas ke, sesiapa pun boleh kena, tapi kena sebab di jangkiti dari orang lain.
Seringkali dikenali sebagai ‘sakit mata’ atau ‘mata merah’, masih ramai yang belum tahu cara hilangkan sakit mata dengan betul. Tidak kurang juga ramai yang tidak cakna bahawa ia sebenarnya adalah sejenis jangkitan pada mata dan kondisi ini boleh berjangkit.
Jadi, jom sama-sama kita amik tahu punca, simptom dan cara hilangkan sakit mata yang sebenarnya!.
Definisi sebenar tentang jangkitan ‘sakit mata’.
Untuk pengetahuan korang, masalah sakit mata atau mata merah (konjunktivitis) adalah sejenis jangkitan pada membran telus (konjuktiva). Selaput yang melapisi kelopak mata serta menutupi mata putih ini boleh dijangkiti dengan mikroorganisme; bakteria, virus, kuman atau alergen. Apabila dijangkiti, saluran darah pada konjunktiva ini akan mengalami keradangan sekali gus menyebabkan kemerahan pada mata.
Berikut adalah simptom-simptom yang akan muncul jika terkena jangkitan ini:
- Mata kemerahan
- Mata kegatalan
- Mata berair
- Mata berlendir
- Penglihatan kabur
- Pening kepala
- Sensitif terhadap cahaya
- Loya
- Muntah
Namun kita sering kali dimomokkan untuk tidak menatap mata penderita jangkitan ini kerana risau ia akan berjangkit. Benarkah mitos ini?
Jangan tengok, nanti sakit mata berjangkit
Seperti mana yang kita semua sudah tahu, kondisi sakit mata adalah disebabkan oleh jangkitan mikroorganisme yakni virus, bakteria, kuman atau alergen. Jadi, jangkitan ini sudah tentu boleh berjangkit di antara satu individu ke individu yang lain.
Ini kerana mikroorganisme tersebut boleh hidup, membiak dan merebak pada persekitaran tempat korang berada. Ia boleh tersebar melalui sentuhan atau titisan akibat kontak rapat mahupun perbuatan seperti bersin atau batuk.
Pun begitu, ramai yang mungkin masih lagi percaya bahawa hanya dengan melihat orang yang sakit mata, akan sebarkan jangkitan. Tidak, korang tidak akan mendapat jangkitan hanya dengan melihat kecuali berlakunya kontak rapat bersama penderita sakit mata.
Jika sudah terkena jangkitan ini pula, apa yang kalian boleh buat?
Cara hilangkan sakit mata dengan betul
Perkara paling utama perlu dilakukan jika alami jangkitan konjunktivitis adalah untuk berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan rawatan dan ubatan. Sementara itu, adalah disarankan untuk korang hanya tinggal di rumah sementara waktu dalam usaha mengelakkan jangkitan ini berlaku kepada orang lain pula.
Berikut adalah beberapa cara hilangkan sakit mata yang kalian boleh cuba:
#1. Mengambil ubatan antibiotik @ antiviral
Bergantung kepada tahap keterukan jangkitan tersebut, korang mungkin akan diberikan ubatan antibiotik atau antiviral. Ia sangat bergantung kepada punca jangkitan sama ada bakteria atau virus serta jenis mikroorganisme yang menyebabkannya.
#2. Mengambil ubatan antihistamin
Sekiranya jangkitan tersebut adalah disebabkan oleh alergi, adalah penting untuk kalian menghapuskan alergen tersebut terlebih dahulu. Jadi, ubatan antihistamin adalah pilihan terbaik dan ia juga hadir dalam dua bentuk sama ada oral atau ubat titik sama seperti ubatan mata lain.
#3. Mengambil ubatan tahan sakit
Kebiasaannya, doktor juga akan mempreskripsikan anda dengan ubatan tahan sakit untuk melegakan kesakitan akibat jangkitan konjunktivitis.
#4. Tuaman air suam
Jangkitan ini tentu sahaja akan menyebabkan keradangan pada kelopak mata dan menekapkan ia dengan tuaman air suam adalah kaedah terbaik. Memang yaa, sampaikan nak tunduk ke bawah pun sakit kannn aduii..
#5. Menggunakan cermin mata
Cara hilangkan sakit mata dengan penggunaan cermin mata adalah sangat bagus ketika jangkitan ini berlaku untuk mengelakkan ia daripada berjangkit kepada orang lain pula. Selain itu, ia juga adalah alternatif kepada mereka yang menggunakan kanta lekap bagi memberi peluang lapisan kornea untuk berehat sebentar.
#6. Pembedahan
Kaedah ini mungkin akan dilakukan buat penderita yang mengalami jangkitan konjunktivitis akibat kemasukan benda asing pada mata. Pun begitu, kaedah ini amat jarang digunakan dan sering kali digantikan dengan rawatan laser terutamanya buat pesakit glaukoma.
Dalam pada itu, cara hilangkan sakit mata yang paling utama dan penting adalah dengan berehat secukupnya. Kuarantin diri sementara waktu di rumah adalah pilihan terbaik untuk mengelakkan jangkitan ini tersebar.
Kurangkan penggunaan gajet berskrin jika korang mengalami sakit mata, ini bagi mengelakkan sebarang komplikasi tidak diingini.
Paling penting, jaga kebersihan. Jangan gunakan tuala yang sama untuk mengesat mata. Ia akan menjadi “sarang” bagi kuman.
P/S : Betul ke ada fakta mengatakan, susu ibu boleh melegakan dan memulihkan sakit mata?..
Thank you for coming by.
Comments are your responsibility.
Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988.
Comment wisely, and do it with pure intentions.
Happy Blogging.