BULAN RABIUL'AWAL, BULAN KELAHIRAN NABI MUHAMMAD SAW | Bulan Rabiul Awal merupakan bulan ketiga dalam Takwim Hijrah. Bulan ini membawa satu peristiwa besar yang menjadi ingatan kepada seluruh umat manusia. Nabi Muhammad SAW telah diputerakan pada bulan ini iaitu pada 12 Rabiul Awal.
Rabiulawal adalah bulan ke-3 dalam Kalendar Islam, yang juga dikenali sebagai Kalendar Hijrah. Dalam bahasa Arab, perkataan “rabbi” membawa maksud musim bunga sementara “al awwal” bermakna pertama atau permulaan. Oleh itu, Rabiulawal secara keseluruhannya bermaksud “Permulaan Musim Bunga”.
Rabiulawal merupakan bulan terpenting di dalam sejarah Islam, kerana kemanusiaan telah diberkati pada bulan ini dengan lahirnya Nabi Muhammad SAW, yang mana adalah peristiwa paling utama dan paling luar biasa di dalam sejarah manusia. Jadi, bulan ini dikenali sebagai bulan kelahiran Nabi SAW kesayangan kita.
Firman-Nya bermaksud: "Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertaqwa." (Surah al-Taubah, ayat 36)
Masyarakat Arab sejak dahulu mempunyai kiraan bulan yang pelbagai kaedah. Antara yang terkenal mereka membahagikan dua belas bulan kepada enam bahagian yang berlainan. Dua bulan dinamakan Rabi' al-Awwal (Rabi' yang pertama). Dua bulan lagi dinamakan Saif (sederhana panas). Dua bulan kemudian dinamakan Qaiz (bersangatan panas).
Manakala, dua bulan selepas itu dinamakan Rabi' al-Thani (Rabi' yang kedua). Dua bulan lagi dinamakan Kharif (musim luruh). Dua bulan terakhir pula dinamakan Syita' (musim sejuk). Asal perkataan 'rabi' adalah bermaksud musim bunga.
Kedatangan bulan Rabiulawal sangat ditunggu oleh mereka kerana bulan inilah antara masa atau musim paling indah dan menyeronokkan.
Bulan kelahiran Nabi SAW
Sebelum Nabi Muhammad (S.A.W.) dilahirkan, manusia hidup dalam keadaan jahil dan kegelapan. Mereka menyembah dewa-dewa yang berlainan. Mereka menyimpang daripada jalan Allah. Apabila Nabi SAW dilahirkan, Baginda bawa bersama Utusan Kebenaran, iaitu Utusan daripada Allah, Yang Maha Esa. Mesej ini telah membawa manusia kepada kesedaran, membantu mereka membezakan di antara yang benar dan yang salah.
Satu daripada kelebihan yang paling penting pada Nabi SAW adalah Baginda merupakan Nabi terakhir daripada semua Nabi AS dan tiada Nabi yang hadir selepas Baginda. Muhammad SAW akan kekal sebagai Nabi kepada semua umat manusia sehingga hari kiamat. Sebagaimana firman Allah di dalam Al-Quran:
“Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala Nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah Ahzab 33:40)
Banyak peristiwa sepanjang bulan Rabiulawal dalam sejarah Islam berdasarkan pandangan ulama. Peristiwa paling diingati umat Islam ialah kelahiran Nabi Muhammad SAW. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam." (Surah al-Anbiya' ayat 107)
Pandangan ulama banyak mengguna pakai tarikh 12 Rabiulawal sebagai tanggal kelahiran Rasulullah SAW. Namun, ada beberapa pandangan memilih tarikh 9 Rabiulawal sebagai tanggal yang lebih sesuai.
Hujah mereka ialah mengikut kiraan ahli falak (astronomi) hari Isnin dalam bulan Rabiulawal tahun Gajah (mengikut hadis daripada Nabi SAW) bukanlah pada tanggal 12 Rabiulawal, bahkan jatuh pada 9 Rabiulawal, iaitu bersamaan 22 April tahun 571 Masehi.
Rasulullah SAW bersabda berkenaan hari kelahiran Baginda yang bermaksud: "Hari itulah (Isnin) hari aku dilahirkan. Hari itu juga hari aku diutuskan (menjadi Rasul) iaitu hari aku menerima wahyu pertama." (Riwayat Muslim)
Dalam konteks ini, bukanlah asas pegangan kita kepada perkara tidak disepakati ulama. Ulama hampir sepakat menerima bahawa kelahiran Rasulullah SAW ialah pada hari Isnin bulan Rabiulawal pada tahun Gajah.
Manakala, dalam perkara yang khilaf (banyak perbezaan pendapat) hendaklah mengikuti yang paling kuat hujahnya. Hakikatnya, kelahiran baginda Rasulullah SAW adalah sejarah yang merubah seluruh alam. Malah, berjaya membawa sinar cahaya kebenaran ke serata dunia dengan mengeluarkan manusia daripada kegelapan jahiliah kepada nur (cahaya) Islam berpandukan al-Quran.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Alif, Laam, Raa'. Ini ialah Kitab (al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya daripada gelap-gelita kufur kepada cahaya iman - dengan izin Tuhan mereka - ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji." (Surah Ibrahim, ayat 1)
Peristiwa kedua pada bulan Rabiulawal juga ialah hijrah Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Kota Madinah. Mengikut sejarah, Nabi SAW keluar meninggalkan Kota Makkah pada awal bulan Rabiulawal. Perjalanan lebih kurang 12 hari akhirnya Rasulullah SAW tiba di Kota Madinah pada hari Khamis 12 Rabiulawal bersamaan 28 Jun tahun 622 Masihi.
Dalam konteks berbeza, apabila kita menceritakan hijrah Rasulullah SAW juga pada bulan Rabiulawal menunjukkan kelebihan bulan ini. Walaupun tidak secara langsung membincangkan mengenai ibrah peristiwa bersejarah ini, tetapi sekadar mengingati tarikhnya sudah cukup membanggakan kita.
Jika peristiwa kelahiran dan perutusan Rasulullah SAW sebagai Rasul terakhir membawa rahmat kepada seluruh alam, maka mengingati tarikh peristiwa ini pastinya memberi kesan mendalam kepada umat Islam. Dari sinilah bermulanya pembentukan negara Islam Madinah sebagai model bagi seluruh dunia.
Antara peristiwa besar yang berlaku dalam bulan Rabiulawal ini juga ialah kewafatan Baginda Rasulullah SAW. Walaupun pahit ditelan, ia adalah ketentuan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu)." (Surah Ali Imran, ayat 144)
Rasulullah SAW adalah manusia biasa. Baginda dipilih Allah SWT sebagai utusan terakhir kepada seluruh umat manusia. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang daripada orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." (Surah al-Ahzab, ayat 40)
Kita pasrah dengan ketentuan Allah SWT. Setiap yang hidup pasti merasai kematian. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya." (Surah Ali Imran, ayat 185)
Peristiwa besar bulan Rabiulawal memang menyentuh hati, menyuntik semangat dan memotivasi diri untuk mengingati Rasulullah SAW. Ingat adalah bukti cinta kita kepada Baginda SAW.
Rabiul'awal 2023
Bulan Rabiulawal 2023 dijangka akan bermula pada hari Sabtu, 16 September 2023 atau hari Ahad, 17 September 2023. 12hb Rabiulawal 2023 atau Mawlid Nabi/Maulidur Rasul 2023 ditetapkan pada 27hb atau 28h September, 2023. Walau bagaimanapun, tarikh tepat bagi Rabiulawal 2023 bergantung pada lokasi korang dan penampakan bulan Rabiulawal 1445.
Mawlid Nabi/Maulidur Rasul
Kebanyakan umat Islam percaya bahawa Nabi SAW dilahirkan dalam bulan Rabiulawal, walaupun tiada kesepakatan dalam tarikh sebenarnya.
Di beberapa bahagian Eropah, USA, Kanada, Asia Tenggara, India, Pakistan dan Bangladesh, kebanyakan umat Islam menyambut 12 Rabiulawal sebagai tarikh kelahiran Nabi SAW. dan mengglar hari ini sebagai ‘Mawlid Nabi’. Mereka menyambut ‘Mawlid Nabi’ dengan penuh semangat. Mereka menyambut hari ini dengan mengadakan ‘Milad’ (memuji Nabi SAW oleh penyair), mengadakan perarakan, bertukar-tukar hadiah, memeriahkan masjid, dan pelbagai aktiviti yang lain.
Di Timur Tengah dan negara-negara di sekelilingnya, umat Islam tidak menyambut perayaan ini sama ada pada 12 Rabiulawal atau sebarang hari pada bulan ini kerana Nabi SAW atau para Sahabat RA tidak pernah menyambut hari kelahiran Nabi SAW atau hari lahir Nabi-nabi AS yang lain.
Maka, sebahagian umat Islam menyambut Mawlid Nabi dan sebahagian lagi tidak menyambutnya. Apa yang paling penting adalah seluruh umat Islam mengikuti ajaran Nabi SAW dan kita hidup menurut Sunnah Baginda. Ini memerlukan usaha berterusan daripada semua umat Islam. Semoga Allah memimpin kita semua kepada rahmat Agung Al-Quran dan Sunnah Pesuruh Allah SAW/
P/S : Moga segala amalan kita di terima Allah SWT .. inshaallah aamiinn ..
Thank you for coming by.
Comments are your responsibility.
Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988.
Comment wisely, and do it with pure intentions.
Happy Blogging.