ANTARA TEMPAT MENARIK DI TAMBUNAN SABAH YANG BOLEH KORANG LAWATI. Untuk yang pertama kali ke Sabah, dan tak tau nak kemana sepanjang bercuti di Sabah, korang bolehlah datang ke Tambunan Sabah dan explore tempat-tempat menarik di sana.
Daerah Tambunan yang merupakan salah sebuah kawasan tanah tinggi yang letaknya di bahagian pedalaman, Sabah. Daerah yang dikatakan mempunyai tempat menarik ini terletak 81 km dari Kota Kinabalu. Ramai yang tidak tahu bahawa Tambunan adalah sebuah daerah di Sabah yang mempunyai tempat menarik untuk di kunjungi. Penduduk Tambunan majoritinya terdiri daripada Kaum Dusun.
Tambunan juga dikenali sebagai “The Switzerland of the East”, gelaran ini di beri kerana pengalaman yang korang akan alami di Tambunan ini adalah seakan-akan berada di negara tersebut.Mengikut cerita dahulu kala, nama Tambunan ini adalah gabungan di antara Orang Gombunan (Orang dataran) dan Orang Tamadon, selepas kemenangan besar yang mereka perolehi dalam peperangan.
Di sini Sis komgsikan antara tempat-tempat yang menarik di daerah Tambunan sebagai panduan untuk korang lawati bersama keluarga di masa lapang dan sempena cuti-cuti Malaysia nanti.
Air Terjun Mahua
Air Terjun Mahua terletak di Kampung Patau, kira-kira 12 km dari Pekan Tambunan. 7 km dari kampung Patau untuk sampai ke Pusat Informasi Pelancongan, pintu masuk ke Air Terjun Mahua. Lokasinya terletak antara Kampung Katagayan dan Kampung Mahua, Patau Tambunan.
Antara keunikan tempat ini ialah suasana alamnya yang begitu menenangkan jiwa dengan aliran air yang jernih di bawa arus air terjun setinggi 50 kaki. Untuk ke lokasi air terjunnya, korang kena laa berjalan sejauh 300m macamtu laa..
Mengambil masa perjalanan lebih kurang 1 jam setengah daripada bandaraya Kota Kinabalu untuk sampai ke destinasi. Air Terjun Mahua merupakan satu tarikan semula jadi yang terletak di Hutan Tropika Banjaran Crocker. Mempunyai Ketinggian setinggi 17 Meter dan kedalaman sedalam 1.5 Meter. Air Terjun Mahua merupakan salah satu tempat pelancongan yang dikendalikan oleh Taman-Taman Sabah, di mana anda perlu membeli tiket untuk masuk.
Alamat : Kg. Mahua, 89650 Tambunan, Sabah
Phone : 016-552 1905
Tambunan Viewing Point (Sinurambi Tambunan)
Sinurambi Tambuanan ni merupakan tarikan yang terbaru terdapat di Tambunan dan telah dirasmikan pada December 2016 yang lepas. Reka bentuk yang sangat menarik iaitu menyerupai sebuah “wakid”, satu kraf tradisional yang digunakan untuk membawa padi.
Sinurambi Tambunan juga adalah salah satu tempat menarik di Tambunan yang boleh dikunjungi oleh pelancong yang datang melancong ke negeri Sabah. Ia terletak di Kampung Dalungan dan juga dikenali dengan beberapa panggilan iaitu seperti Tambunan View Point dan Menara Sinurambi. Menara ini mempunyai ketinggian kira-kira 45 kaki atau 17 meter. Pembinaan menara ini adalah hasil cetusan idea daripada Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri Sabah pada masa itu.
Jika datang melawat ke sini korang akan dapat melihat keindahan pemandangan yang cukup indah dari atas menara. Korang boleh melihat pemandangan daerah Tambunan, daerah Keningau dan yang paling menariknya adalah korang dapat melihat pemandangan Gunung Kinabalu terutamanya ketika waktu pagi atau ketika cuaca cerah sambil merasai tiupan angin yang segar. Di sini juga korang akan dapat melihat keindahan matahari terbenam di waktu petang yang cukup indah.
Alamat :
Phone :
Batu Gong Tambunan
Pernahkah korang mendengar tentang batu yang mengeluarkan bunyi seperti gong? Inilah salah satu keajaiban yang boleh korang jumpa di Kampung Solibog, Tambunan. Lokasinya terletak di Kampung Solibog Tambunan dimana tempat batu ini mula-mula ditemui.
Untuk pengetahuan korang, antara keunikan yang ada pada batu tersebut ialah ia boleh mengeluarkan bunyi yang merdu apabila dipalu. Bunyi yang terhasil sama dengan bunyi alat muzik kaum dusun iaitu gong. Keunikan batu ini sering dikaitkan dengan pelbagai cerita rakyat dan terus-menerus menjadi misteri di daerah Tambunan.
Kini, batu itu menjadi kebanggaan penduduk apabila kampung berkenaan sentiasa dikunjungi orang ramai termasuk pelancong asing untuk melihat serta memalu batu unik terbabit.
Alamat : Jalan Keningau - Tambunan, Kampung Solibog, 89650 Tambunan, Sabah
Phone : 017-899 3078
Kampung Tikolod
Kampung Tikolod terletak lebih kurang 18 km dari pekan Tambunan. Apa yang menarik di kampung ini adalah mereka adalah pengeluar halia yang terbesar dan juga merupakan pembuat alat muzik traditional seperti sompoton, bungkau, tongkungon dan togunggak.
Di sini, para pengunjung boleh melihat dengan sendiri bagaimana alat muzik ini di buat dan juga membeli produk halia mereka. Samaada halia kering atau halia hidup segar dari ladang.
Tapak perkhemahan kegemaran, Kampung Tikolod juga menawarkan tempat percutian dengan alam semula jadi yang menampilkan denai kembara, pengenalan kepada penternakan halia, perkhemahan dan jangkaan musim penuaian ikan tahunan yang biasanya dilakukan setahun sekali.
Alamat : Ms Patricia Kitingan
Phone : +60 19 821 8618
Tugu Pahlawan Tambunan
Tugu Pahlawan Tambunan merupakan salah satu tugu yang terdapat di negeri Sabah. Tugu ini juga disebut dengan nama Tugu Pahlawan Gombunan dan terletak di Tamu Pekan Tambunan, Sabah. Tugu yang dibina ini menunjukkan 2 orang pahlawan yang berdiri sambil memegang senjata tradisional mereka.
Dua orang pahlawan tersebut adalah menunjukkan dua puak pahlawan di daerah ini pada suatu masa dahulu iaitu puak Tamadon dan puak Gombunan yang telah bersatu dan bergabung nama seterusnya menjadikan nama daerah ini 'Tambunan'. Nama 'Tam' diambil dari singkatan nama puak Tamadon dan 'Bunan' di ambil dari singkatan nama puak Gombunan.
Tugu Tambunan & Batu Perpaduan adalah antara replika yang boleh ditemui di Tambunan, Sabah!
Tugu Pahlawan ini lambang kepada Daerah Tambunan kerana nama daerah ini diambil daripada gabungan TAMADON & GOMBUNAN - TAMBUNAN.
Alamat : 89650 Tambunan, Sabah, Malaysia.
Phone :
Gantung Sorili, Kampung Widu
Tajau di kalangan kaum peribumi Borneo dan Legenda Tajau "Gantung Sorilih," Kg. Widu, Tambunan, North Borneo. Tajau atau dalam bahasa Dusunic dipanggil “Kakanan” atau “Luping” merupakan barang yang paling berharga pada zaman dahulu kala, selain Kerbau. Tajau juga dianggap barang yang paling berkeramat, kerana terdapat pemujaan tajau yang dilakukan oleh suku-suku Dusunic pada zaman dahulu.
Menurut legenda Dusunic, tajau-tajau ini kononya ada yang turun dari langit, misalnya diberikan oleh Kinorohingan untuk tujuan spiritual. Ada juga yang kononya diberikan oleh naga kepada manusia, tidak kurang juga legenda yang mengatakan mereka menjumpai tajau-tajau itu secara ghaib di dalam hutan, hanya orang yang matanya dibuka dapat melihat, dan yang dapat melihat itulah yang layak memilikinya.
Kisah mengenai Gantung Sorili berasal dari latar budaya sekitar tahun 1700-1800an, iaitu, ketika zaman mengayau dan perlanunan rancak berlaku di Sabah. Sesuatu yang menarik, Kampung Widu menyimpan sebuah lagenda yang sememangnya telah diketahui umum iaitu tentang Gantung Sorili. Gantung Sorili (sebuah tajau besar) dikatakan dimiliki oleh bunian dan mempunyai banyak cerita menakjubkan.
Kisah 'tajau' ni ada sambungan dengan kaitannya, nanti Sis update di posting lain okkay..
Alamat :
Phone :
Tandarason TVRC
Antara tempat yang terkenal di Tambunan ialah Tandarason Resort & Country Club Tambunan. Tempat ini terletak lebih kurang 1 kilometer dari pekan Tambunan. Aktiviti Sukan dan rekreasi yang terdapat disini ialah berkayak, Padle Boat, Jungle Trekking, Permainan tradisional dan banyak lagi.
Terdapat tasik buatan yang dipanggil Tasik Tandarason. Ditasik inilah sebahagian sukan rekreasi diadakan. Jika korang inginkan percutian yang penuh dengan aktiviti, mungkin TVRC tempat yang sesuai. Tandaraon TVRC Tambunan menyediakan pelbagai aktiviti dengan harga yang berpatutan.
Sis berpeluang bermalam di sini selama 2 malam. Nanti Sis kongsikan pengalaman menginap di sini yaaa..
Alamat : Trcc W.D.T. 24, 89650 Tambunan, Sabah
Phone : 087-774 076
Tangga 1001 Bukit Nanas Kampung Libang
Sejak dahulu lagi, penduduk Kg Libang Ulu Tambunan mengekalkan tradisi bergotong royong dan meraikan tetamu yg berkunjung ke kampungg mereka dengan penuh mesra dan layanan yang terbaik, Semangat kekitaan umpama kekeluargaan inilah adalah rahsia kejayaan mereka mampu membina 1001 anak tangga ke puncak Bukit Nenas.
Berkat usaha dan kesabaran juga kerjasama mereka, kini penduduk Kampung. Libang Ulu di Tambunan, Sabah tidak perlu lagi bersusah-payah mendaki lereng gunung untuk menyemai bibit nanas dan menuai hasilnya. Cetusan idea bersama mereka membina tangga di celahan lereng gunung untuk memudahkan mereka mendaki. Angka 1001 anak tangga terhasil secara kebetulan, kini ia bukan sekadar memudahkan pendakian malah menjadi produk pelancongan.
Walaupun tidak berjaya mendaki sehingga 1001 tangga, Sis tetap bangga jugalah dengan pencapaian diri sendiri sehingga boleh naik sampai 'suku' tangga ke atas tu..
Alamat : Jalan Nukakatan, 89300 Tambunan, Sabah, Malaysia
Phone : 014-789 1774
Kampung Mangi Pangi - Lada Hitam
Bukan hanya di Sarawak aja yang terkenal dengan penanaman lada hitam, malah di Sabah juga penduduk Tambunan ada dan memounyai ladang lada hitam mereka, salah satunya di Kampung Mangi Pangi ini. Jika korang ingin melihat sendiri cara penanaman lada hitam dan merasai pengalaman melihat sendiri pokok-pokok lada hitam dari mula di tanam hinggalah proses siap di jual, korang boleh datang sini.
Penduduk di sini akan mengajar cara-cara menanam, membusut, membaja, mencantas dan kawalan penyakit dan serangga perosak. Juga korang berpeluang memetik dan makan buah-buahan tempatan yang berbuah di dusun mereka. Memang satu pengalaman yang sangat seronok, Cuma untuk ke sini agak mencabar perjalanannya.
Alamat :
Phone :
Itulah antara tempat menarik di Tambunan Sabah yang boleh korang lawati jika datang ke Kota Kinabalu. Dan yang pasti Sis merindukan masakan lauk-pauk tradisi mereka. Walaupun ada certain menu-menunya pertama kali Sis jumpa dan rasa, alhamdulilah, menerpati citarasa tekak Sis sebagai orang Semenanjung.
Ada lagi yang nak Sis kongsikan tempat-tempat sejarah yang tersembunyi di Tambunan yang korang tidak tau. Nanti Sis akan update kemudian okay.
Terima kasih AirAsia yang menerbangkan Sis dari JHB - BKI -JHB dengan selamat dan lancar.. korang juga boleh lihat video REEL di IG akusislin dan juga highlight IGs akusislin 'BKI' ookay..
P/S : Siapa mabuk perjalanan, sila bawa sesiap ubat mabuk yaa, sebab perjalanan ke satu tempat ke satu tempat memang jauh dan jalannya tidak stabil juga bengkang bengkok..
syok dapat melawat tempat orang ni, banyak pengalaman boleh dapat.Tempat pun cantik ek
ردحذفBetul Eda, di beri peluang, kita manfaat sebaiknya.. banyak pengetahuan dan pengalaman yang Sis dapat...
حذفnext time gi sabah boleh la ke sini
ردحذفSangat di alu-alukan...
حذف