HUKUM MENINGGALKAN SOLAT JUMAAT DENGAN SENGAJA

Sis Lin
0
HUKUM MENINGGALKAN SOLAT JUMAAT DENGAN SENGAJA. Hukum meninggalkan solat Jumaat adalah haram jika tanpa uzur syarie kerana hukum menunaikannya ialah fardhu ain, melainkan kepada perempuan dan kanak-kanak. 

Penetapan hukum sepertimana disebutkan dalam al-Quran dan Sunnah walaupun dihuraikan oleh para ulama di dalam kitab-kitab mereka pada dasarnya adalah merupakan perintah Allah. Kita sebagai hambaNya wajib patuh dan taat kepada hukum yang telahpun ditetapkan itu.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Surah al-Jumu`ah, 62:9)

 

Hukum Meninggalkan Solat Jumaat Dengan Sengaja

Kewajipan sembahyang Jumaat

Hukum menunaikan sembahyang Jumaat adalah wajib kepada setiap orang Islam yang mukallaf (sudah baligh dan berakal), merdeka, lelaki dan bermukim. Ini jelas sebagaimana disebutkan dalam al-Quran, firman Allah yang tafsirnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah al-Jumu‘ah: 9)

 

Sesungguhnya Allah Ta’ala memerintahkan umat Islam berkumpul pada hari Jumaat untuk menunaikan sembahyang Jumaat sebagaimana disebutkan dalam firman Allah Ta‘ala dalam surah al-Jumu‘ah di atas “segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat)”.

Maksud ‘segeralah pergi ke masjid’ itu bukanlah bererti mempercepatkan pergerakan kaki untuk pergi ke masjid, tetapi ia bermaksud menyegerakan niat, hati dan keinginan pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang Jumaat. Perkara inilah yang disebut ulama dalam kitab-kitab tafsir.

Hukum meninggalkan sembahyang Jumaat

Meninggalkan sembahyang Jumaat tanpa sebarang keuzuran adalah berdosa sehingga sesiapa yang meninggalkan sembahyang Jumaat sebanyak tiga kali akan dicap hatinya sebagai orang munafiq. Perkara ini jelas disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu al-Ja‘di adh-Dhamriy r.a. bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang meninggalkan sembahyang Jumaat tiga kali (berturut-turut) nescaya Allah akan mencap hatinya, dan menjadikan hatinya itu seperti hati orang munafiq.”(Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah)

 

Oleh itu, sesiapa yang meninggalkan sembahyang Jumaat tanpa ada uzur syar‘i hukumnya adalah berdosa besar, apatah lagi jika meninggalkannya tiga kali berturut-turut, hatinya akan dicapkan oleh Allah sebagai hati orang munafiq.

Hukum Meninggalkan Solat Jumaat Dengan Sengaja

Kesalahan tidak menunaikan sembahyang Jumaat diwartakan

Kesalahan meninggalkan sembahyang Jumaat telahpun diwartakan di dalam Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, 2013 di bawah kesalahan-kesalahan am. Jika ada sesiapa tidak menunaikan sembahyang Jumaat tanpa ada keuzuran boleh dikenakan hukuman. Ini jelas sepertimana disebutkan dalam perintah tersebut:

“Mana-mana lelaki yang mukallaf yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat di masjid dengan tiada uzur syar‘ie atau dengan tiada alasan-alasan yang munasabah adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $200 bagi kesalahan pertama, dikenakan suatu denda tidak melebihi $300 bagi kesalahan kedua, dan dikenakan suatu denda tidak melebihi $1000 bagi kesalahan ketiga atau berikutnya.”(Buku Warta Kerajaan)

 

Mengadakan hukuman bagi orang yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat sebagaimana yang disebutkan di atas adalah supaya umat Islam di Negara Brunei Darussalam akan sentiasa mendukung perintah Allah di samping memuliakan hari Jumaat itu sendiri.

Keprihatinan kerajaan Negara Brunei Darussalam akan kepentingan agama dengan mengambil langkah mewartakan beberapa hukuman-hukuman tertentu adalah semata-mata membuka jalan dan mendorong umat Islam di Negara ini supaya sentiasa taat dan patuh melaksanakan dan menjalankan perintah Allah dan menjauhi laranganNya.

Kita rasa bersyukur di atas keprihatinan kerajaan mengenai hukuman-hukuman yang berkaitan dengan agama Islam seperti hukuman denda bagi orang yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat dan seterusnya mengambil langkah menutup semua premis perniagaan bagi memberi ruang kepada orang Islam untuk menunaikan sembahyang Jumaat.

Perkara ini disambut baik dan mendapat kerjasama daripada pemilik-pemilik premis perniagaan yang bukan sahaja terdiri dari kalangan orang Islam malah juga pemilik-pemilik yang bukan dari orang Islam.

Ini juga adalah selari dengan larangan berjual beli ketika sembahyang Jumaat, kerana umat Islam diperintahkan supaya bersegera untuk pergi mengerjakan sembahyang Jumaat dan meninggalkan jual beli dan kerja-kerja yang lain.

Hukum Meninggalkan Solat Jumaat Dengan Sengaja

Hukum berjual beli pada hari Jumaat

Perintah meninggalkan jual beli apabila bermula waktu untuk menunaikan sembahyang Jumaat adalah berdasarkan firman Allah yang tafsirnya:

“Dan apabila mereka melihat suatu perniagaan atau suatu hiburan, mereka pun pergi mendapatkannya dan meninggalkan engkau (wahai Nabi Muhammad) berdiri (di atas mimbar). Katakanlah: “Bahawa apa yang ada di sisi Allah adalah lebih baik daripada hiburan dan perniagaan. Dan Allah adalah sebaik-baik pemberi rezeki.” (Surah al-Jumu‘ah: 11)

 

Ayat ini diturunkan ketika Rasullullah sedang berkhutbah, kemudian datanglah kafilah dari Syam membawa barang dagangan, sehingga para jemaah sembahyang Jumaat meninggalkan Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam yang sedang berkhutbah. Bertitik tolak dari kejadian tersebut, maka turunlah ayat ini.

Terdapat perbezaan hukum berjual beli pada hari Jumaat khususnya ketika hendak menunaikan sembahyang Jumaat. Perbezaan ini adalah mengikut keadaan masa tertentu, secara ringkasnya adalah seperti berikut:

i) Haram berjual beli selepas azan kedua sembahyang Jumaat sehingga selesai sembahyang Jumaat. Maksud haram berjual beli selepas azan kedua sembahyang Jumaat itu adalah bagi mereka yang belum berada di masjid. Adapun mereka yang sudah berada di masjid dan melakukan jual beli di dalamnya adalah makruh.

ii) Makruh berjual beli selepas tergelincir matahari sehingga sebelum azan kedua sembahyang Jumaat kerana waktu itu sudah masuk waktu wajib dan perbuatannya leka dengan urusan jual beli itu seumpama perbuatan melengah-lengahkan untuk bersegera pergi mengerjakan sembahyang Jumaat.

iii) Harus melakukan urusan jual beli sebelum tergelincir matahari

Begitulah secara ringkas hukum berjual-beli ketika hendak menunaikan sembahyang Jumaat. Manakala setelah selesai menunaikan sembahyang Jumaat, hukum berjual-beli adalah harus.

Tetapi perlu diingat bahawa hukum haram dan makruh itu tidaklah terbatas kepada perkara jual beli sahaja malahan termasuk juga segala perkara yang melekakan dari bersegera pergi mengerjakan sembahyang Jumaat.

Hukum Meninggalkan Solat Jumaat Dengan Sengaja

Keuzuran mengharuskan meninggalkan sembahyang Jumaat

Sembahyang Jumaat itu hukumnya wajib, namun seseorang itu diharuskan meninggalkan sembahyang Jumaat disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syara‘.

Antara keuzuran syar‘i itu ialah:

1) Sakit yang menghalangi untuk pergi sembahyang berjemaah ke masjid, sama ada jika dia pergi ke masjid akan menambahkan lagi sakit itu atau melambatkan sembuh.

Adapun sakit biasa seperti sakit kepala, gigi dan demam ringan tidaklah dikira sebagai uzur yang mengharuskan tidak bersembahyang Jumaat.

2) Orang musafir yang sedang dalam pelayaran yang diharuskan, selama mana dia tidak berniat untuk bermuqim atau menetap pada sesuatu tempat dalam tempoh empat hari atau lebih.

Akan tetapi, perlu diingat bahawa tidak harus memulakan pelayaran sebelum tergelincir matahari, di antara waktu terbit fajar hari Jumaat hingga tergelincir matahari, melainkan setelah menunaikan sembahyang Jumaat, namun adalah harus membuat pelayaran pada waktu tersebut jika sekiranya sembahyang Jumaat boleh atau sempat dilakukan di tempat yang dituju atau di tengah perjalanan.

Lebih-lebih lagi tidak harus yakni haram memulakan pelayaran setelah tergelincir matahari kerana setelah tergelincir matahari itulah bermulanya kewajipan untuk pergi ke masjid menunaikan sembahyang Jumaat.

Jika dia meneruskan juga memulakan pelayaran setelah tergelincir matahari, maka tidak ada baginya rukhshah yakni keringanan hukum, umpamanya keringanan berbuka puasa ketika dalam pelayaran, mengqashar atau memendekkan sembahyang dan sebagainya kerana pelayarannya itu dikira sebagai pelayaran maksiat, melainkan setelah berlalu atau luput waktu menunaikan sembahyang Jumaat kerana awal pelayarannya yang diharuskan untuk mengambil rukhshah itu dikira setelah berlalunya perkara maksiat yang dilakukannya itu iaitu mulai setelah berlalu ataupun luput waktu sembahyang Jumaat.

3) Orang yang dipenjara, direman atau ditahan. Orang seperti ini dianggap sebagai orang yang mempunyai keuzuran.

4) Sibuk kerana menguruskan mayat yang ditakuti jika dilambatkan akan menyebabkan mayat menjadi busuk. Tidaklah disyaratkan orang yang menguruskan jenazah itu terdiri daripada ahli keluarganya seperti anaknya dan saudaranya.

Adapun orang yang hadir, selain daripada orang yang menguruskan jenazah itu, bukanlah dikira orang yang mempunyai keuzuran untuk meninggalkan sembahyang Jumaat.

Sumber : SINI 


P/S : Salam Jumaat buat semua ❤

إرسال تعليق

0تعليقات

Thank you for coming by.
Comments are your responsibility.
Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988.
Comment wisely, and do it with pure intentions.

Happy Blogging.

إرسال تعليق (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Ok, Go it!