KADAR ZAKAT FITRAH 2025. Satu daripada keistimewaan pada Ramadan ialah terdapat satu kefarduan iaitu mengeluarkan zakat fitrah. Sebagai Muslim, membayar zakat fitrah adalah amalan yang wajib dilaksanakan untuk menyucikan hati, jiwa dan menjaga keseimbangan sosial antara masyarakat.
Apabila tiba sahaja bulan Ramadan, setiap dari kita pasti akan meraikannya dengan penuh kesyukuran. Kerana ia merupakan bulan yang ditunggu-tunggu oleh seluruh Umat Islam. Zakat ini dikenali sebagai zakat fitrah wajib ke atas Muslim yang cukup syarat untuk membayarnya pada bulan puasa.
Menunaikan puasa merupakan antara rukun Islam yang wajib dilakukan oleh semua umat Islam pada bulan Ramadan. Namun, dalam sedar atau tidak, ada satu lagi rukun Islam yang wajib dilaksanakan pada bulan Ramadan, iaitu menunaikan zakat.
Terdapat banyak kelebihan dalam mengeluarkan zakat fitrah, antaranya; Pertama, mendekatkan diri dengan Allah SWT. Berzakat tidak akan merugikan sesiapa, apabila kita memberi dengan ikhlas atas harta yang kita miliki, Allah SWT akan memberikan keberkatan dalam hidup baik di dunia mahupun akhirat.
Mengeluarkan zakat fitrah mendekatkan diri kepada Allah SWT dan boleh diiktibarkan sebagaimana hadis Nabi SAW diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud: "Dua malaikat turun setiap pagi. Yang satu berkata: 'Ya Allah, berikanlah orang yang mengeluarkan sesuatu sebagai ganti daripada yang dia keluarkan'. Dan yang lainnya berkata: 'Ya Allah, berikan penghancuran kepada orang yang kikir.'"
Kelebihan yang Kedua adalah menyucikan kekayaan dan mempertingkatkan keimanan. Hal ini seperti definisi zakat itu sendiri iaitu suci dan berkembang. Menyucikan kekayaan di sini bukanlah bermaksud kita perlu mencuci wang mahupun syiling secara fizikal, namun menyucikan itu boleh dikatakan menghilangkan rasa kedekut dan keserabutan yang berada dalam diri kita.
Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Hadid ayat 7 yang bermaksud: "Berimanlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada harta benda (pemberian Allah) yang kamu menguasainya sebagai wakil.
Maka orang yang beriman dalam kalangan kamu dan membelanjakan (harta benda), mereka mendapat pahala yang besar." Setelah harta disucikan, kita akan berasakan ketenangan apabila memenuhi hak Allah. Setiap harta kurniaan Allah SWT bukanlah diperoleh kerana kehebatan kita, namun kerana izin yang dikurniakan Allah SWT.
Kelebihan yang ketiga adalah khidmat sosial komuniti. Bagi orang Islam yang konsiten melakukan pembayaran zakat, kita telah melaksanakan suatu tindakan terpuji dan sebenarnya telah menolong golongan yang sangat memerlukan. Dengan hasil wang zakat yang dibayar oleh umat Islam, terdapat kehidupan orang lain yang berubah kepada lebih baik hasil daripadanya.
Hasil kutipan zakat fitrah ini dapat membantu orang yang memerlukan daripada sudut penyediaan makanan, modal perniagaan, menyara diri, menuntut ilmu dan sebagainya. Apabila berlakunya perubahan hidup seseorang individu maka hidup setiap masyarakat juga akan berubah kerana individu adalah sebahagian daripada kolektif masyarakat. Individu yang baik akan membawa kepada perubahan komuniti yang baik.
Kesimpulannya, mengeluarkan zakat fitrah ini bukanlah sesuatu perbuatan yang akan merugikan pengeluarnya seperti jika kita fikirkan secara logika, sesuatu harta dikeluarkan maka ia akan berkurang. Namun Allah SWT menjanjikan pelbagai ganjaran bagi orang yang berjaya mengeluarkan zakat. Marilah kita mengambil kesempatan menunaikan kewajipan zakat fitrah ini kerana ia adalah suatu fardu yang hanya ditunaikan pada Ramadan sahaja.
Moga bermanfaat buat semua ..
P/S : Alhamdulilah, harini rezeki jiran sedekah Bubur Lambuk, sedapnyaaaa
Alhamdulillah, dah sudah menunaikan zakat fitrah.
ReplyDelete